Orang ramai mengunjungi Pameran Udara Selangor (SAS) 2021 di Pusat Penerbangan Serantau SkyPark, Subang pada 27 November 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASELANGOR

SAS 2022: Penganjur sedia kemudahan bas percuma buat pengunjung

SHAH ALAM, 22 JUN: Perkhidmatan bas ulang alik akan disediakan untuk pengunjung Pameran Penerbangan Selangor 2022 (SAS 2022) yang berlangsung mulai 8 hingga 10 September ini.

EXCO perdagangan, Dato’ Teng Chang Khim berkata perkhidmatan bas percuma dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang ke Skypark Regional Aviation Centre (RAC) itu adalah antara penambahbaikan yang bakal dilaksanakan untuk edisi kedua pameran itu.

“Bagi pengunjung yang mendarat di Lapangan Terbang Subang pada tahun ini, kami akan menyediakan perkhidmatan terus dari lapangan terbang ke lokasi kami tanpa sebarang bayaran.

“Penambahbaikan lain termasuk menambah keluasan ruang pameran kepada 28,000 meter persegi berbanding 17,000 meter persegi sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas pelancaran rasmi SAS 2022 di Hotel Sheraton Petaling Jaya, semalam.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Selangor dan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Dr Nor Fuad Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Bhd (Invest Selangor) Datuk Hasan Azhari Idris.

Selain itu, Chang Khim berkata Kerajaan Negeri sentiasa optimis akan kemampuan Selangor untuk menjadi hab penerbangan rantau Asean.

“Ini adalah visi kami dan ia ditunjukkan menerusi apa yang kami lakukan sekarang seperti menganjurkan pameran penerbangan. Tidak dinafikan kami berhasrat untuk menjadikan Selangor sebagai hab untuk perniagaan dan penerbangan,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini beberapa syarikat dari pelbagai negara telah mengesahkan penyertaan dalam SAS 2022 seperti Sapura Aero, Destini Avia Technique, Epic Aero, DJI Academy, Superb Access, BCS Aviation, Bibus Metals, Sirim dan International Aero Training Academy.

Seramai 4,987 pengunjung menghadiri penganjuran pameran udara edisi lalu yang berlangsung dari 25 hingga 27 November 2021.

Acara yang julung kali diadakan itu turut menyaksikan penyertaan 43 peserta dari tujuh negara, termasuk Turki, Amerika Syarikat, Brazil dan Perancis.


Pengarang :