Kanak-kanak menyertai acara sukaneka mengisi air dalam botol ketika Jelajah Selangor Penyayang di padang Taman Kosas, Ampang pada 19 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sempena jelajah bantuan rakyat, warga Kuala Selangor dipelawa sertai sukaneka

SHAH ALAM, 28 JUN: Warga Kuala Selangor dipelawa menyertai mini sukan sempena Jelajah Selangor Penyayang yang berlangsung di Stadium Utama Kuala Selangor pada Sabtu ini.

Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) memaklumkan antara sukan dipertandingkan ialah bola sepak tendangan gol dan bola jaring ‘shoot-out’ yang terbuka kepada peserta berusia 12 tahun ke atas.

Pendaftaran untuk acara itu adalah percuma dan mereka yang berminat boleh menghubungi talian 017-6419987 (bola sepak) dan 019-2372594 (bola jaring).

Siri jelajah mulai jam 8 pagi hingga 5.30 petang akan dirasmikan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Program itu bertujuan mempromosi pelbagai inisiatif kebajikan rakyat yang disertai 23 anak syarikat Kerajaan Negeri.

Untuk memeriahkan suasana, pelbagai acara diadakan antaranya persembahan artis termasuk Wany Hasrita, senamrobik, pertandingan sukan rakyat, e-sukan dan derma darah.

Turut diadakan, simbolik penyerahan bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Selangor, bantuan Dana Usahawan Mikro Selangor selain program Puspanita dan forum kesihatan.

Inisiatif itu dijayakan menerusi peruntukan RM350 juta, menggantikan Inisiatif Peduli Rakyat supaya lebih ramai memperoleh manfaat disediakan Kerajaan Negeri.

Antaranya Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas), menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) membantu hingga 30,000 keluarga berbanding 25,000 keluarga sebelum ini.

Turut dilaksana, program Selangor Saring untuk mengesan penyakit kronik dengan perbelanjaan RM1.5 juta yang memanfaatkan 5,000 orang terutama golongan berisiko.

Sebelum ini, Jelajah Selangor Penyayang yang berlangsung di Taman Kosas, Ampang pada 19 Jun dan Dataran Pantai Morib Kuala Langat (25 Jun) mendapat sambutan menggalakkan.

 


Pengarang :