EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim menjawab soalan dikemukakan wakil rakyat dalam sidang Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex, Shah Alam pada 26 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

EXCO: Lima syarikat pemula berpotensi kuasai pasaran, capai status nilai bilion

SHAH ALAM, 26 JULAI: Lima syarikat pemula di Selangor berpotensi menjadi syarikat unicorn (terma syarikat bernilai AS$1 bilion) pada masa depan, kata Dato’ Teng Chang Khim.

EXCO pelaburan berkata syarikat tersebut adalah Aerodryne (pengurusan dron), Dropee (platform e-dagang), Fave (teknologi kewangan), TheLorry (logistik) dan Naluri Hidup (kecerdasan buatan serta kesihatan)

“Ketika ini semua syarikat ini berstatus soonicorn iaitu bernilai AS$100 juta. Dropee iaitu platform borong perniagaan ke perniagaan serta pembekal penyelesaian e-dagang merupakan bekas peserta program pemecut Selangor (SAP).

“Syarikat unicorn pertama negara, Carsome yang menjalankan platform e-dagang kereta juga bertapak di Selangor dan memulakan operasi pada 2015,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Beliau menjawab soalan Wakil rakyat Sungai Tua Edry Faizal Eddy Yusof berhubung potensi syarikat di negeri ini.

ADN Bandar Baru Klang berkata Selangor berusaha mencari lebih banyak syarikat berpotensi untuk menyumbang kepada inovasi, peluang pekerjaan serta mencipta kekayaan.

“Oleh kerana populasi dan saiz pasaran kita tidak seluas negara Asia Tenggara lain, usahawan Malaysia perlu mengembangkan pasaran mereka ke serantau untuk mencapai status unicorn,” katanya.

 


Pengarang :