Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menghadiri program Pemukiman Sasterawan Dan Karyawan sempena sambutan 50 tahun Jubli Emas Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) di Hotel Le Meridien, Petaling Jaya pada 14 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB perhalusi biasiswa pelajar seni, elaun khas karyawan

SHAH ALAM, 5 OGOS: Kerajaan Negeri memperhalusi cadangan biasiswa untuk pelajar seni dan elaun khas karyawan demi memartabatkan seni serta kesusasteraan khususnya di Selangor.

Dato’ Menteri Besar berkata menerusi pertemuan bersama beberapa Sasterawan Negara pada Julai, banyak cadangan dikemukakan bagi mengangkat seni Selangor ke peringkat antarabangsa.

“Cadangan dikemukakan bagi mengembangkan karya di negeri ini antaranya biasiswa untuk pelajar seni, pembinaan pusat seni dan elaun khas karyawan. Semua cadangan akan diperhalusi sebaiknya

“Semestinya pertemuan ini akan disusuli tindakan dan pelan perancangan menyeluruh agar matlamat tercapai.

“Kita akan terus mengembangkan lagi dunia persuratan, kesusasteraan dan seni di Selangor serta Malaysia untuk memangkin budaya masyarakat,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook.

Mengimbau pengalaman sebagai EXCO kebudayaan, beliau menjelaskan Anugerah Hadiah Sastera Selangor (HSS) yang diilhamkan dahulu kini makin mengukuh sebagai sebuah gelanggang karya negeri.

“Ramai karyawan generasi lama dan baharu menjadikan pesta karya ini sebagai sesuatu yang dinantikan. Kini kemudahan seperti Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) serta penglibatan lebih ramai pihak memungkinkan lebih banyak perkara dapat dicapai.

“Malah Anugerah Sasterawan Selangor juga boleh dipertimbangkan sebagai obor nyala sastera untuk tatapan dunia,” katanya.

Pada 14 Julai lalu, Amirudin bertemu dengan penggiat seni tanah air termasuk tujuh Sasterawan Negara menerusi Program Pemukiman Sasterawan dan Karyawan sempena sambutan 50 Tahun Jubli Emas PPAS .

Mereka ialah Datuk Seri Dr A Samad Said, Prof Emeritus Dr Muhammad Haji Salleh, Dato’ Dr Anwar Ridhwan, Dato’ Baha Zain, Datuk Dr Zurinah Hassan, Prof Datuk Dr Siti Zainon Ismail dan Dato’ Rahman Shaari.


Pengarang :