Isteri Dato’ Menteri Besar Datin Seri Masdiana Muhamad diiringi oleh Timbalan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Mohd Zulkurnain Che Ali (dua, kiri) dan Ketua Pegawai Operasi Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) Mohd Helmi Dato’ Mohd Yusof (kiri) menyampaikan plakad Platform Selangor (PLATS) kepada peniaga pada program ‘Walkabout’ PLATS ke Pasar Budaya Borneo MBSJ di Seri Kembangan, Subang Jaya pada 20 Ogos 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Pekawanis promosi PLATS di semua PBT, bantu peniaga jana pendapatan

SUBANG JAYA, 20 OGOS: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) bakal mempromosikan Platform Selangor (PLATS) kepada semua peniaga memandangkan manfaatnya kepada ekonomi keluarga.

Yang dipertuanya Datin Seri Masdiana Muhamad berkata beliau bersama ahli akan bergerak ke seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memperkenalkan platform perniagaan digital itu.

“Rancangan ini turut disertai Rakan Digital Selangor supaya mereka boleh boleh terus daftarkan peniaga berminat. Minggu depan kita adakan penggambaran mengenai PLATS untuk dijadikan bahan hebahan.

“Platform digital ini membantu peniaga kecil membangun selepas terkesan teruk akibat penularan Covid-19. Kita harap peserta PLATS mampu menjana pendapatan lebih,” katanya ditemui pada program walkabout ke Pasar Budaya Borneo Majlis Bandaraya Subang Jaya di Seri Kembangan hari ini.

Majlis turut dihadiri Timbalan Datuk Bandar MBSJ Mohd Zulkurnain Che Ali serta Ahli Dewan Negeri Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah.

Setakat ini PLATS memiliki lebih 14,000 peserta selepas diperkenal Ramadan dua tahun lalu bagi melengkapkan ekosistem Agenda Digitalisasi Selangor menerusi platform digital susulan penularan wabak Covid-19.

Pada 11 April tahun lalu, PLATS 2.0 dilancarkan bagi membantu peniaga menjana pendapatan sepanjang masa, tidak terhad ketika bulan puasa sahaja.

Platform maya siri 3.0 itu diteruskan tahun ini pada April melibatkan kerjasama Permodalan Negeri Selangor Berhad, Rakan Digital Selangor dan 12 PBT.


Pengarang :