Hujan tidak menghalang orang ramai beratur awal pagi bagi membeli barangan keperluan harian ketika Program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Lembah Jaya di Taman Ampang Indah, Ampang Jaya pada 17 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Hujan tidak halang penduduk hadir jualan murah Taman Ampang Indah

AMPANG JAYA, 17 SEPT: Cuaca hujan tidak menghalang orang ramai untuk beratur mendapatkan barangan pada program Jualan Ehsan Rakyat (JER) di Taman Ampang Indah di sini, hari ini.

Tinjauan SelangorKini mendapati ada pengunjung yang berpayung dan ada juga menggunakan kotak sebagai penutup kepala antara jam 9.30 pagi hingga 10 pagi tadi.

Pengurus kanan pemasaran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berkata situasi itu mendorong pihaknya mengosongkan khemah jualan bagi mengelak orang ramai daripada basah.

“Kita ambil pendekatan di mana-mana lokasi program disediakan khemah kerana cuaca tidak menentu. Macam hari ini kita kosongkan khemah jualan dan menjual di pekarangan dewan,” kata Mohd Fazir Abdul Latif.

Selain itu, beliau berkata pihaknya juga memberi keutamaan kepada warga emas untuk membeli.

“Kita menyediakan laluan kepada warga emas dan petugas juga telah diberikan makluman untuk memberi keutamaan kepada golongan berkenaan.

“Setakat ini tidak timbul masalah tidak puas hati kerana orang ramai faham dan memberi laluan kepada golongan warga emas,” katanya.

Pada 30 Ogos lalu, Dato’ Menteri Besar mengumumkan peruntukan RM10 juta bagi menjayakan JER yang dilancar sempena sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program tersebut menawarkan harga makanan asas seperti ayam, daging, ikan, telur, beras dan minyak masak pada harga 30 peratus lebih rendah berbanding pasaran.


Pengarang :