AGENDANASIONAL

Selati jaya hasrat negeri bangun pusat dron, jalan ujian sejak Mac

SHAH ALAM, 10 SEPT: Selangor Aviation and Technology Innovations Sdn Bhd (Selati) menjalankan ujian berkaitan dron bersama beberapa syarikat di Pusat Kecemerlangan Dron Selangor sejak Mac.

Pengarah urusannya berkata ujian bersama sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga bakal dijalankan selama tiga bulan di pusat yang terletak di Universiti Selangor (Unisel) Bestari Jaya dalam tempoh terdekat.

“Selepas itu kita akan mengeluarkan prototaip dron untuk syarikat petroleum tempatan. Syarikat itu bakal membeli dron itu dan kita menyediakan ruang untuk ujian.

“Sebenarnya bukan mudah untuk mencari ruang ujian, namun dengan semua kemudahan yang dimiliki, kita akan cuba bantu pemain industri dron untuk menguji prototaip dan mendapat kelulusan terbang.

“Kita perlu memastikan dapat menyediakan kemudahan terbaik kepada industri mengikut keperluan semasa,” kata Dr Mohd Zulkufli Zakaria selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Sky Futures (M) Sdn Bhd (Sky Futures) semalam.

Ditemui sempena Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark di sini, beliau berkata Selangor menjadi negeri pertama yang memiliki pusat kecemerlangan dron bagi memacu pembangunan industri terbabit.

Mohd Zulkufli menjelaskan Selati diberi mandat oleh Kerajaan Negeri untuk membangunkan pusat berkenaan merangkumi ujian dron, latihan, pembangunan, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) serta permainan dron.

“Pusat ini mempunyai semua kemudahan yang diperlukan untuk ujian dron termasuk darat, air dan udara. Ruang ujian merentasi 40 kilometer(km). Kita juga menyediakan latihan dron profesional untuk juruterbang.

“Juruterbang akan dicabar untuk menerbangkan dron bukan sahaja dalam keadaan biasa tetapi juga pada masa kritikal seperti kebakaran, kemalangan dan bencana seperti ribut,” katanya lagi.

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika perasmian pembukaan SAS 2022 memaklumkan pusat kecemerlangan dron dibangunkan bagi menyokong ekosistem industri itu di negara ini.


Pengarang :