Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Arau Fathin Amelina Fazlie (kiri) mengedarkan risalah kepada peniaga di Nat Pokok Getah ketika berkempen bagi pilihan raya umum ke-15 pada 6 November 2022. Foto Facebook Fathin Amelina
AGENDANASIONAL

Shahidan syak Ismail Sabri ‘ditipu’ Zahid, sekadar ‘poster boy’ BN

SHAH ALAM, 7 NOV: Bekas menteri Datuk Seri Shahidan Kassim tidak yakin Barisan Nasional (BN) berminat mengekalkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri jika menang.

“Ya saya pun tidak faham, sepatutnya calon bakal perdana menteri BN adalah Ismail Sabri, tetapi nampak mereka macam diamkan saja,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini semalam.

Tidak dicalonkan semula dalam pilihan raya umum kali ini atas tiket BN, Shahidan khuatir Ismail Sabri “ditipu” Presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi sekadar “poster boy” (tokoh utama) bekas partinya.

Shahidan yang terus mempertahankan kerusi Arau atas tiket Perikatan Nasional berdepan calon muda Pakatan Harapan (HARAPAN) Fathin Amelina Fazlie dan Datuk Rozabil Abdul Rahman (BN).

“HARAPAN pula (calonkan Datuk Seri) Anwar Ibrahim. Yang mereka (BN) apapun tidak ada lagi, kasihan dengan Ismail Sabri,” katanya lagi seperti dilaporkan portal tersebut.

Sementara itu Fathin Amelina mula giat bergerak di sekitar kawasan parlimen Arau setelah diperkenalkan penyandang Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar kepada penduduk di situ beberapa hari lalu.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Arau Fathin Amelina Fazlie (kanan) bersama penyandang kerusi Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar (tengah) bertemu penduduk di Guar Sanji, Kuala Sanglang dan Pauh dalam Parlimen Arau pada 4 November 2022. Foto Facebook Fathin Amelina

Pertama kali bertanding, pelajar peringkat ijazah kedoktoran Universiti Malaya berdepan dengan Shahidan, seorang tokoh politik nasional yang bertapak di situ sejak 1986.

Sementara itu, Berita Harian pula melaporkan Fathin Amelina menjelaskan kempennya berjalan lancar termasuk melawat pasar pagi terkenal Nat Pokok Getah di Pauh.

“Dari segi kempen, hari ini kita sudah melawat beberapa kawasan seperti melawat kawasan pasar pagi dan berjumpa dengan masyarakat di sana, masuk ke kedai makan dan restoran di DUN Pauh,” katanya hari ini.

Tambahnya, ramai penduduk datang kepadanya mengadukan masalah di kawasan masing-masing dan meminta untuk ditangani segera.

“Masalah seperti hasil petani yang berkurangan dan juga kemudahan infrastruktur seperti lampu jalan, kemudahan jalan yang kurang memuaskan turut diadukan kepada saya untuk saya ambil maklum,” katanya seperti dilaporkan.

“Sekiranya saya menang di Parlimen ini, saya akan memberi fokus kepada petani dan nelayan di kawasan ini terutama dari segi meningkatkan pendapatan mereka.”


Pengarang :