Keadaan di Taman Desaru Utama, Kota Tinggi yang dinaiki air susulan hujan lebat sejak pagi tadi ketika tinjauan pada 24 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Mangsa banjir empat negeri berkurang kepada 3,662 malam ini

KUALA LUMPUR, 7 FEB: Jumlah mangsa banjir di Pahang, Johor, Kedah dan Terengganu semakin berkurangan dengan 3,662 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) pada malam ini, berbanding 5,134 mangsa petang tadi.

Di Pahang, jumlah mangsa banjir terus menurun dengan 3,585 mangsa daripada 1,046 keluarga masih berada di 23 PPS, berbanding 5,021 mangsa daripada 1,489 keluarga di 28 PPS pada petang tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Pahang melaporkan di Kuantan, 19 PPS masih beroperasi bagi menempatkan 3,466 mangsa manakala 119 mangsa berada di empat PPS di Pekan.

Sementara itu, laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan paras Sungai Belat di Sri Damai, Kuantan dan Sungai Keratong di Rompin direkodkan masih melepasi paras bahaya.

Di Johor, keadaan banjir semakin pulih dengan jumlah mangsa terus menyusut kepada 33 mangsa setakat 8 malam ini berbanding 59 mangsa pada 4 petang tadi dengan sebuah PPS di Daerah Batu Pahat ditutup.

JPBN Johor memaklumkan hanya dua PPS masih dibuka, masing-masing satu di Daerah Segamat dengan 26 mangsa daripada sembilan keluarga dan di Mersing dengan tujuh mangsa daripada satu keluarga.

Keadaan cuaca di semua daerah di negeri ini diramalkan cerah pada malam ini manakala paras Sungai Bekok di Batu Pahat dilaporkan masih melepasi paras bahaya dengan bacaan 18.94 meter.

Di Kedah, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan PPS Sekolah Menengah Agama Madrasah Insaniah Jangkang, dekat Kulim kekal 26 orang, setakat pukul 8 malam ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kulim Kapten (PA) Amirul Aliff Ahmad berkata kesemua mangsa daripada lapan keluarga masih ditempatkan di PPS berkenaan yang dijangka akan dibuka sehingga sehingga tebing Sungai Kob yang runtuh dibaiki Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Di Terengganu, jumlah mangsa banjir di Daerah Kemaman berkurangan dengan hanya 18 orang ditempatkan di satu PPS malam ini.

JPBN Terengganu dalam kenyataan memaklumkan kesemua mangsa daripada enam keluarga itu ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Lembah Jabor.

-BERNAMA


Pengarang :