Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Hujan lebat, banjir, dijangka Mac, April ini kesan luruan Monsun Timur Laut

PUTRAJAYA, 1 MAC: Negara ketika ini dilanda episod keenam hujan lebat berterusan Monsun Timur Laut (MTL) akibat kesan luruan monsun.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata biarpun episod keenam itu dijangka yang terakhir membawa hujan lebat, namun masih ada kemungkinan untuk hujan dan banjir berlaku di beberapa kawasan memasuki Mac dan April.

Beliau berkata ia berikutan MTL hanya dijangka tamat pada pertengahan bulan ini sebelum tempoh peralihan ke Monsun Barat Daya.

“Selagi MTL belum berakhir, negara masih ada potensi untuk berlaku episod hujan lebat seperti yang berlaku ketika ini yang juga peringkat ke enam episod hujan lebat ini.

“Jangkaan kami ini mungkin yang terakhir bagi episod hujan lebat, tapi kemungkinan untuk berlaku masih ada kerana MTL hanya dijangka berakhir pertengahan bulan ini.

“Dalam proses peralihan MTL kepada Monsun Barat Daya, sekitar April, MetMalaysia juga menjangkakan ribut petir dan hujan terus berlaku,” katanya seperti dilapor Berita Harian hari ini.

Untuk rekod fasa MTL bermula pada 7 November 2022 dan dijangka berakhir Mac ini.

Muhammad Helmi berkata orang ramai diminta untuk terus cakna dengan ramalan cuaca yang dikeluarkan MetMalaysia.

Hari ini MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan sangat lebat berterusan tahap bahaya dijangka berlaku di Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor sehingga esok.


Pengarang :