AGENDAAGENSINASIONALSELANGOR

Hijrah anjur kursus pemasaran guna TikTok bantu usahawan tingkat jualan

OLEH DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 11 APRIL: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) menganjurkan kursus pemasaran menerusi aplikasi media sosial TikTok bagi membantu usahawan meningkatkan jualan dan pendapatan secara dalam talian.

Pengurus Pembangunan Usahawannya Elyani Iza Zuber berkata inisiatif tersebut dilaksanakan Unit Pembangunan Usahawan Hijrah bagi memastikan kelestarian perniagaan usahawan terbabit dapat dipertingkatkan.

“Hijrah ambil pendekatan anjurkan kursus ini supaya mereka dapat uruskan perniagaan menerusi media sosial mengikut trend terkini pemasaran video memandangkan TikTok antara platform tumpuan ramai untuk membeli-belah.

“Kita sasar anjurkan empat kursus latihan tahun ini dengan dua daripadanya telah diadakan sebelum Ramadan dan berjaya menarik 82 penyertaan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata menerusi kursus pertama melibatkan 42 usahawan, berjaya mendapat jualan terkumpul RM39,734 menerusi aplikasi terbabit selepas dua minggu menyertainya.

Menurutnya, ia jelas membuktikan latihan tersebut berjaya membuka satu lagi saluran jualan bagi usahawan mempromosikan produk sekali gus berupaya membayar semula pembiayaan disalurkan agensi itu.

Mengulas lanjut, Elyani Iza berkata Hijrah turut memfokuskan latihan khususnya ‘soft skill’ kepada usahawan di bawah naungannya.

“Unit Pembangunan Usahawan Hijrah turut tawarkan kursus berbentuk ‘booster’ dengan menyediakan lima modul tahun ini menerusi kerjasama dengan beberapa agensi agar usahawan dapat menambah ilmu.

“Antara agensi terbabit adalah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menerusi PKNS Bizpoint dan aplikasi Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) di mana usahawan boleh mendalami ilmu bagi perkukuh perniagaan selain mengembangkannya menerusi aplikasi digital,” katanya.


Pengarang :