Gambar hiasan bayi. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Mayat bayi tanpa pakaian ditemukan terapung di laut

KOTA KINABALU, 11 JUN: Mayat bayi masih belum dikenal pasti jantina ditemukan terapung di laut di perkampungan atas air, Kampung Tanjung Aru Lama, di sini semalam.

Bayi malang itu ditemukan 6.30 petang oleh penduduk kampung yang melalui jambatan kayu di kampung berkenaan sebelum menghubungi polis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan Kalsom Idris berkata, sebaik menerima laporan mengenai penemuan mayat bayi terbabit, sepasukan polis digerakkan ke lokasi untuk siasatan.

Katanya, bayi itu ditemui terapung tanpa pakaian di laut dekat jambatan di perkampungan atas air berkenaan.

“Siasatan awal mendapati bayi itu dipercayai baru dilahirkan namun setakat ini belum ada apa-apa maklumat lanjut mengenai kejadian itu.

“Bayi terbabit juga disyaki dibuang ke laut selepas dilahirkan,” katanya ketika dihubungi, lapor Harian Metro.

Kalsom berkata, mayat bayi itu dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk bedah siasat.

“Setakat ini jantina bayi belum dapat dipastikan dan akan diketahui selepas bedah siasat,” katanya.

Katanya, pihaknya sedang menjalankan siasatan bagi mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu atau balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya.


Pengarang :