Penyelaras DUN Bukit Melawati, S Thiban (tengah) menyampaikan sumbangan kepada P Manimala, 56, wakil kepada Ali Mohamed yang menghidap penyakit angin ahmar kini dijaga oleh keluarga India di Kampung Tanjung Siang, Kuala Selangor pada 8 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Balas jasa, pasangan India OKU jaga warga emas terlantar beza agama

KUALA SELANGOR, 12 NOV: Pasangan suami isteri berketurunan India membawa lelaki warga emas yang terlantar keseorangan untuk tinggal bersama di rumah mereka sejak setahun lalu.

Meski berlainan agama, P Manimala, 56, dan suaminya D Maniam, 73, membawa Ali Mohamed, 66, yang menderita penyakit angin ahmar ke rumah mereka di Kampung Tanjung Siam di sini.

Sebelum ini, Ali yang empat anak perempuannya tinggal berjauhan menetap di rumah pusaka keluarga, kira-kira 30 meter daripada kediaman pasangan tersebut sejak lebih 20 tahun lalu.

Setiap hari, Manimala yang disahkan orang kurang upaya berikutan masalah tulang belakangnya menyuap makanan kepada Ali berikutan tangannya lemah selain turut memandikannya.

“Saya belikan abang Ali makanan (untuk pastikan halal) dan kadang-kadang ada juga masak (seperti sayuran). Saya juga suap abang Ali makan (sebab) takut dia tercekik.

“Saya bawa abang Ali (menggunakan kerusi roda) pergi bilik air, siram-siram sikit dan lap badan dia. Saya mahu dia wangi setiap hari,” kata Manimala kepada Selangorkini pada 9 November.

P Manimala, 56, menjaga Ali Mohamed yang menghidap penyakit angin ahmar di Kampung Tanjung Siang, Kuala Selangor pada 8 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pasangan itu antara penerima Jom Shopping yang diserah Penyelaras Dewan Undangan Negeri Bukit Melawati Thiban Subbramaniam sempena Deepavali. Ali pula menerima bantuan barangan keperluan asas.

Keluarga yang berpendapatan isi rumah RM2,000 dan ke bawah menerima baucar Jom Shopping bernilai RM200 sempena perayaan Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali.

Dalam temu bual, pasangan yang tidak dikurnia sebarang anak menganggap pertolongan mereka tidak seberapa berbanding pengorbanan Ali ketika masih sihat terhadap mereka.

“Abang Ali banyak membantu kami, tidak pernah berkira wang ringgit dan selalu pastikan kami selamat,” kata Manimala yang turut membawa Ali bersiar-siar depan rumah ketika waktu lapang.

Cerita beliau, Ali kerap menghulur pelbagai sumbangan dan sering menziarahinya di hospital ketika Manimala terlibat nahas yang mengakibatkan tulang belakangnya patah tiga pada 2012.

“Kami orang miskin dan tiada kenderaan. Tetapi abang Ali sanggup sewakan kereta untuk bawa saya buat rawatan susulan di Hospital Klang,” kata suri rumah itu lagi.

Ali Mohamed (tengah) menghidap penyakit angin ahmar kini dijaga oleh keluarga India di Kampung Tanjung Siang, Kuala Selangor pada 8 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pasangan berkenaan juga tidak lekang daripada mendoakan kesembuhan Ali sekali gus ia menjadi antara harapan mereka agar perkara itu terkabul sempena perayaan Deepavali pada tahun ini.

“Jika abang Ali sihat dan boleh berjalan semula, itu hadiah paling bermakna untuk saya. Saya hanya mahu dia sihat semula seperti dulu, itu saja,” katanya sambil menambah anak Ali ada menziarahi bapa mereka.

Sementara itu, Ali yang hanya mampu bertutur perlahan terharu atas kesanggupan pasangan tersebut menjaganya sepenuh masa meski keluarga itu hidup dalam keadaan serba kekurangan.

Beliau yang ditempatkan di ruang tamu rumah pasangan itu tidak dapat menahan sebak sebaik mengetahui mereka berusaha mengumpul wang bagi membina bilik tambahan demi keselesaannya.

“Saya anggap Manimala seperti adik saya. Isteri saya meninggal dunia lima tahun lalu, anak-anak pula duduk jauh. Inilah keluarga saya yang ada,” kata bekas ejen hartanah itu sambil mengalirkan air mata.


Pengarang :