KLANG, 13 DIS: Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) memuji pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor yang cekap mengurus dan merancang pembangunan.
Datuk Bandarnya Datuk Shadan Othman berkata kelebihan yang dimiliki itu wajar dicontohi oleh semua PBT di negeri lain termasuk Melaka.
“Selangor bukan sahaja mempunyai pengurusan pelabuhan terbaik tetapi cara mereka menguruskan pembangunan juga amat dipuji dan wajar dicontohi.
“Seperti hari ini (semalam) kita berada di perumahan baharu Bandar Bukit Raja iaitu perumahan biasa bukan strata tetapi ada pengawal di sini, ini yang saya agak terpegun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Menanam Pokok Melaka sempena Konvoi Jemputan Tahun Melawat Melaka 2024 di Dragonfly Park, Bandar Bukit Raja di sini semalam.
Turut hadir Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK) Datin Paduka Noraini Roslan.
Sementara itu, Shadan turut memuji pelaksanaan caj pemajuan di Selangor dan berhasrat mengunjungi Selangor lagi bagi mempelajarinya.
“Insya-Allah, kita akan datang lagi ke PBT di Selangor selepas ini untuk belajar selok-belok mewujudkan caj pemajuan, ia juga merupakan salah satu hasrat kita untuk saling berkongsi amalan baik yang dipraktiskan PBT masing-masing,” katanya.
Caj Pemajuan adalah satu jumlah bayaran yang dikenakan oleh PBT melalui Seksyen 32, Akta Perancangan Bandar & Desa 1976 (Akta 172) kepada pemilik tanah kerana kelulusan menaikkan nilai tanahnya berbanding nilai tanah sebelum kelulusan Kebenaran Merancang.