AGENDAJENAYAH

Dua polis dituduh laku jenayah seksual, peras ugut pasangan kekasih

KUALA LUMPUR, 17 JAN: Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang di sini hari ini atas empat pertuduhan melakukan jenayah seksual termasuk merogol remaja perempuan warga Uzbekistan di dalam kereta peronda, minggu lepas.

Muhammad Fazrul Razzi Yunus, 31, didakwa merogol, melakukan persetubuhan di luar tabii, hubungan seks dan amang seksual fizikal ke atas remaja berumur 17 tahun itu di tepi jalan Persiaran Saujana Ampang pada 10.30 malam 9 Jan lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(1), Seksyen 377C dan Seksyen 377CA Kanun Keseksaan serta Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman maksimum penjara di antara 20 dan 30 tahun serta boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berdekatan sekali setiap bulan selain tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Peguam G. Visvanathan Nair memohon jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan atas alasan anak guamnya memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan polis dan tidak mempunyai risiko melarikan diri.

“Jumlah jaminan ditawarkan pendakwaan terlampau tinggi dan tujuan jaminan hanya untuk memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah. Anak guam saya menghidap penyakit saraf dan otot mempunyai tanggungan keluarga termasuk dua anak masih kecil serta ibu bapa yang uzur,” katanya.

Hakim Norshila Kamaruddin membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 bagi keempat-empat pertuduhan berserta syarat tambahan dimohon pendakwaan dan menetapkan 12 Mac untuk sebutan bagi serahan dokumen.

Muhammad Fazrul Razzi dan rakannya Konstabel Muhammad Adib Aikal Sharul Nizam, 24, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang atas pertuduhan melakukan pemerasan terhadap teman lelaki kepada remaja perempuan itu, yang juga berusia 17 tahun, bahawa satu rakaman video mereka sedang bercumbu akan disebar hingga mendorong mangsa menyerahkan RM500 kepada mereka.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di tepi jalan Ampang Hillview pada 10.09 malam 9 Jan lepas mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Majistret Amalina Basirah Md Top membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan syarat sama yang ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen dan menetapkan 12 Mac untuk sebutan kes.

Pendakwaan turut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria manakala Muhammad Adib diwakili peguam Kee Wei Lon.

— BERNAMA


Pengarang :