BUDAYARENCANA

Tentang kendala proses kreatif, magis lepak cetus ilham

Oleh Jack Malik

Ilustrasi FAHMI MUSTAFFA

 

Proses ialah nama lain untuk progress (kemajuan). Laman sesawang Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Pusat Rujukan Persuratan Melayu, merakam maksud “proses” sebagai (a) satu siri tindakan yang dilakukan untuk membuat, menghasilkan, atau mencapai sesuatu; (b) kaedah teknik operasi yang digunakan…untuk membuat sesuatu.

Bagi saya, proses ialah tindakan yang mempunyai niat untuk melakukan sesuatu dengan menggunakan apa jua kejujuran, kemahiran dan kejernihan akal juga kalbu dalam mencapai sebuah hasil. Proses ialah pergerakan. Peralihan dari satu titik ke titik. Nama lain untuk “perjalanan” bagi seorang pengkarya.

Seorang pengkarya perlu bergerak untuk “hidup.”

Pergerakan yang dimaksudkan ini hadir dalam pelbagai bentuk—membaca buku, melepak bersama kawan-kawan, menjalani kehidupan seharian, malah mengambil masa bersendirian tidak melakukan apa-apa secara khusus. Semua ini, selain berkarya, merupakan kemajuan. Bahkan, dalam tangan seorang pengkarya, “berlengah-lengah” ada seninya. Ia suatu alat untuk menajamkan krafnya. Apa yang diperlukan hanyalah menukar satu perkataan yang sering dipandang serong kepada satu perkataan lain yang membawa maksud penambahbaikan. Roy Peter Clark dalam bukunya, Writing Tools: 55 Essential Strategies for Every Writer, menulis tentang 55 jenis “alat” strategi untuk diguna dan diterapkan ke dalam penulisan seorang pengkarya. Clark menyatakan tentang alat ke-41:

Bagaimana kalau kita menemukan nama baharu untuk berlengah-lengah (procrastination)? Bagaimana kalau kita panggil ia sebagai raptai (rehearsal)?… Dalam bahasa mudah, penulis yang berhasil, mereka menulis…dalam kepala mereka…. Seorang penulis tidak perlu menulis untuk dia menulis. Untuk menulis dengan pantas, anda perlu menulis secara perlahan-lahan. Untuk menulis menggunakan tangan, anda mesti menulis dahulu dalam kepala anda.

Buntu kata

Idea yang menarik. Tidak perlu menulis untuk menulis. Ini juga nama lain untuk rehat. Adakala, kita terasa lelah dengan kata-kata lewah. Kita bukan sahaja penat menghasilkan karya-karya yang (kita sendiri menghukum diri dan merasa) tidak semengah, bahkan kita juga penat dengan tidak menghasilkan apa-apa. Tetapi jika kita faham proses “kebuntuan” ini tidak lain tidak bukan hanyalah “raptai” untuk kita tiba di suatu tempat yang harus kita tiba, semuanya baik-baik belaka. Clark juga menyarankan untuk mempercayai naluri kita dan paling penting, pada pendapat saya, berlembut dengan diri sendiri kerana ada hari kita akan “menulis banyak kata-kata yang teruk” dan ada hari kita akan menulis “banyak kata-kata yang elok,” pujuk Roy Peter Clark. “Mungkin kata-kata yang teruk itulah jalan wajar untuk menuju ke arah kata-kata yang elok,” sambung beliau.

Inilah proses penulisan. Setiap jalan yang diharungi, kita tidak pasti ke manakah ia akan bawa kita pergi. Inilah juga antara klise paling hakiki.

Seterusnya, klise paling benar ialah membaca. Bidalan warga Barat ada beratnya: kita adalah apa yang kita santap. Dan santapan paling bergizi dan berkhasiat untuk seorang penulis ialah amalan membaca. Pencerahan paling saya ingat berlaku empat tahun yang lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. Kebetulan, saya terserempak dengan Faisal Tehrani. Kami berdua terlibat dalam acara Pesta Sastera George Town (GTLF) tahun tersebut.

Pak Teh bertanyakan kepada saya tentang puisi dan saya berkongsi pandangan saya. Seterusnya, apa yang beliau katakan saya pegang sampai bila-bila. “Apa yang kita baca hari ini, kesannya dapat dilihat 10 tahun akan datang.” Inilah detik pencerahan bagi saya. Apa yang Pak Teh cuba sampaikan, saya fahamkan sebagai kurasi.

Kita sebagai pembaca menentukan pembacaan kita. Betapa pentingnya kurasi pembacaan. Ini kerana kurasi bertindak sebagai pembentukan. Di tangan seorang kurator balai seni, kurasi adalah matlamat, pemanifestasian idea dan kesatuan subject matter. Bagi seorang pengkarya, kurasi menjadi pembangunan diri, suara dan kraf. Kita adalah apa yang kita santap, maka kita juga adalah apa yang kita baca.

Bagaimana seorang pemuisi boleh berkembang jika dia tidak membaca puisi?

Ada benarnya, melalui pengalaman hidup dan pembacaan genre lain dan kemahiran yang diperolehi daripada dunia luar, ia akan membantu pembentukan dirinya sebagai seorang penulis khusus. Tetapi bayangkan seorang chef tidak mencuba pelbagai jenis hidangan atau seorang pelakon tidak menonton teater atau filem—di manakah logiknya di sebalik pemikiran sebegini?

Seorang pemuisi wajib membaca puisi. Seorang penulis novel wajib membaca novel. Sebagaimana seorang ahli muzik wajib mendengar muzik.

Dan kewajiban ini janganlah disalahertikan sebagai pengharaman membaca penulisan lain selain pengkhususan penulis tersebut. Apa yang saya maksudkan ialah mengenali dahulu dunia yang kita benar-benar cintakan dan berselera. Setelah itu, untuk tukar angin, sangat dialu-alukan. Tetapi pasti seorang penulis wajar membaca pengkhususannya dengan lebih lanjut, mendalam dan berkesan. Perkara ini tidak akan nampak semalaman tetapi gemanya akan kedengaran pada tahun-tahun mendatang.

Seni lepak

Saya benar-benar bersyukur ditakdirkan bertemu Pak Teh. Sesungguhnya pengalaman itu tidak boleh dibeli dengan hanya singgah di Kinokuniya KLCC atau memesan buku dari Amazon. Walaupun kami tidak lepak lama, tetapi kata-kata Pak Teh begitu magis. Empat tahun berlalu dan ia masih terngiang-ngiang dalam kepala saya.

Siapa sangka lepak itu sendiri ada seninya juga. Kepentingan lepak tidak lain tidak bukan saya belajar melalui Mohd Jayzuan dan Projek Rabak.

Beberapa tahun yang lalu, saya sedang (dan masih) membikin sebuah kumpulan puisi tentang Kelantan. Ibu dan ayah saya merupakan orang Kelantan jati manakala saya pula lahir dan membesar di Ipoh. Dalam salah satu sesi lepak kami, Jayzuan mempersoal mengapa saya berbuat demikian dan bukan sebaliknya membikin sesuatu tentang Ipoh. Hujah Jayzuan ialah saya lebih Ipoh berbanding Kelantan. Beliau tidak menghalang saya untuk teruskan menulis tentang Kelantan. Tetapi melalui sesi lepak itu, ia menggerakkan saya ke arah proses pembikinan kumpulan puisi tentang Ipoh.

Hasilnya, terlahirlah anak ketiga saya—Gampang!

Kerana saya lepak bersama Jayzuan, kumpulan puisi ketiga saya itu menjadi “hadiah” yang telah saya berikan kepada diri sendiri sempena memasuki umur 30. Ia juga surat cinta saya kepada pekan tua itu.

Melepak. Membaca. Berlengah-lengah—atau lebih tepat, menjalani raptai. Seringkali kita ghairah berkata tentang hasil karya tetapi adakah seghairah berkata tentang proses? Dan persoalan susulan: adakah proses memiliki titik noktah?

Saya percaya proses atau progress akan berlanjutan selagi kita memiliki keinginan untuk berkarya. Benar, ada hari saya bersedih hati kerana berasa “seakan-akan” tidak berganjak ke hadapan. Tetapi membelek semula tulisan Roy Peter Clark, beliau meyakinkan bahawa saya berada di lorong yang betul. Saya hanya perlu belajar untuk lebih percayakan kata-kata yang saya sendiri pernah tulis lapan tahun lalu:

“jadi tempeleng segalanya / terajang semua / terpelanting pergi / & tinggal aku sendiri terus menerus menulis… / & bersajakjakjak lagi.”

 

 


Pengarang :