Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan panggilan telefon yang menawar pertolongan bagi membersihkan maklumat diri dari aktiviti pengubahan wang haram dan dadah. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Wanita rugi lebih RM500,000 terpedaya pelaburan saham tidak wujud di Facebook

JOHOR BAHRU, 14 JAN: Seorang wanita tempatan kerugian lebih setengah juta ringgit selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan pelaburan saham tidak wujud yang diiklankan menerusi Facebook.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Dollah berkata wanita berusia 54 tahun itu memberitahu dia berurusan dengan seorang wanita dari China menerusi aplikasi WhatsApp, selepas menekan link pautan Facebook tawaran pelaburan saham tersebut pada Oktober lepas.

Beliau berkata mangsa kemudiannya diarahkan memuat naik sebuah aplikasi dan memberi maklumat peribadi seperti nama, nombor kad pengenalan dan maklumat akuan bank bagi tujuan pendaftaran.

“Mangsa yang berminat, telah memasukkan wang berjumlah RM314,000 ke dalam tiga akaun bank syarikat yang berbeza secara berperingkat.

“Mangsa kemudian membuat semakan menerusi akaun di dalam aplikasi tersebut dan mendapati telah memperoleh keuntungan sebanyak RM2.03 juta. Namun, mangsa telah diminta untuk membayar sebanyak RM240,000 jika ingin mengeluarkan keuntungan tersebut,” katanya pada kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa sehingga kini tidak memperoleh sebarang keuntungan selepas wanita warga asing tersebut memberitahu bahawa akaun mangsa terlibat dalam kes penggubahan wang haram dan keuntungan tidak boleh dikeluarkan.

Ismail berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya lebih peka dan tidak mudah terpedaya dengan pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan serta membuat semakan dengan pihak berkuasa jika mempunyai sebarang keraguan.

– BERNAMA


Pengarang :