EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah membawa penyanyi Ali XPDC ke Hospital Serdang bagi mendapatkan rawatan segera sejurus menyerahkan bantuan kerusi roda di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang pada 18 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Ali XPDC sesak nafas ketika ziarah, EXCO bergegas bawa ke hospital

SEPANG, 18 APRIL: Vokalis kumpulan rock terkenal XPDC, Ali yang berdepan masalah pernafasan dikejarkan ke Hospital Serdang menggunakan kenderaan rasmi Kerajaan Negeri bagi rawatan segera.

Penyanyi berusia 56 tahun yang turut mengalami masalah lemah jantung dibawa EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah sejurus menziarahinya di kediamannya di Bandar Baru Salak Tinggi hari ini.

Menurut Borhan, kunjungan asalnya ke kediaman penyanyi tersebut untuk menyerahkan kerusi roda dan wang tunai bagi memudahkannya mendapatkan rawatan di hospital atau klinik.

“Bagaimanapun, saya melihat kesihatan Ali agak menurun dan pernafasannya terganggu sehingga memerlukan rawatan segera.

“Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk membawanya terus ke hospital bagi mendapatkan rawatan segera menaiki kenderaan rasmi Kerajaan Negeri,” katanya kepada pemberita.

Dalam pada itu, Borhan memaklumkan Kerajaan Negeri sentiasa cakna kebajikan anak seni khasnya artis veteran yang kurang bernasib baik dan memerlukan bantuan.

“Kerajaan Negeri juga sentiasa mengikuti perkembangan bagi memastikan nasib artis-artis ini terbela khususnya berkaitan bantuan kewangan,” katanya.

Ali atau nama sebenarnya Mohd Ali Ismail, 56, pernah diserang penyakit angin ahmar dua tahun lalu. Beliau kini berdepan semput teruk dan mendakwa tidak dapat tidur dalam keadaan berbaring.

Keadaan penyanyi itu turut meraih perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyerahkan sumbangan melalui Setiausaha Politiknya Ahmad Farhan Fauzi, baru-baru ini.


Pengarang :