Menteri Kesihatan Palestin Mai Alkaila pada 21 Oktober 2023 merayu masyarakat antarabangsa dan semua pertubuhan hak asasi manusia untuk campur tangan dan melindungi Hospital Al Quds di Gaza daripada ancaman serangan Israel. Foto BERNAMA
AGENDAGLOBAL

WHO: Hospital Palestin perlu diberi perlindungan, dipulihkan segera

RAMALLAH, 18 APRIL: Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Tedros Ghebreyesus memperbaharui gesaan agar memberikan perlindungan kepada semua hospital di Gaza.

Tedros menyifatkan kemusnahan yang menimpa hospital di Gaza sebagai menyayat hati, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).

Beliau berkata dalam hantaran di platform X, sebelum ini Twitter, bahawa “kami bersama-sama rakan kongsi sedang menjalankan penilaian ke atas situasi di Hospital Al-Shifa dan Hospital Indonesia di utara Gaza,” sambil menekankan proses pengeluaran mayat dari Hospital Al-Shifa masih berjalan.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus menghadiri sidang akhbar selepas persidangan antarabangsa mengenai penyelidikan vaksin Covid-19 di Geneva pada 12 Februari 2020. Foto AFP

Tedros menegaskan pekerja kesihatan telah membersihkan jabatan kecemasan Hospital Al-Shifa, mengeluarkan katil terbakar dan keselamatan bangunan tinggal memerlukan penilaian kejuruteraan yang komprehensif, sambil menyatakan Hospital Indonesia kosong dan kerja pembinaan semula diteruskan dalam usaha memulihkannya.

Beliau menggesa bagi gencatan senjata segera, dengan mengatakan ubat utama yang diperlukan penduduk di Gaza adalah keamanan.

Menurut Kementerian Kesihatan, 12 hospital di Semenanjung Gaza beroperasi sebahagian iaitu enam di bahagian utara dan enam lagi di selatan.

Pencerobohan Israel ke atas Palestin mengakibatkan 33,843 kematian dan 76,575 cedera sejak Oktober 2023.

– BERNAMA-WAFA


Pengarang :