AGENDANASIONAL

Gerai nasi tomato popular di Batu Lanchang terbakar

GEORGE TOWN, 16 APRIL: Dua gerai termasuk gerai Nasi Tomato Batu Lanchang yang popular sejak 35 tahun lepas musnah dalam kebakaran di Flat Taman Seri Damai, Jelutong, di sini hari ini.

Kejadian kira-kira 10.35 pagi itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang A’azelan Hassan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.37 pagi dan jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak terus digegaskan ke lokasi.

“Sebaik pasukan bomba tiba, didapati api sedang marak di kedua-dua gerai. Dianggarkan kedua-dua gerai terbabit terbakar 70 peratus.

“Tiga motosikal turut terjejas iaitu SYM E-bonus yang dianggar terbakar 90 peratus, Yamaha NVX kira-kira 60 peratus dan Honda EX5 hanya kira-kira lima peratus,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pihak bomba berjaya memadamkan kebakaran sepenuhnya tujuh minit kemudian.

Katanya ketika kejadian terdapat dua pekerja di gerai nasi tomato yang sedang memunggah barangan jualan sebelum menyedari kebakaran itu, dan difahamkan gerai itu baru operasi semula semalam selepas cuti Aidilfitri.

– BERNAMA


Pengarang :