AGENDANASIONAL

Lapan anggota FRU didakwa simpan lapan bahagian pelanduk tanpa lesen

SEREMBAN, 18 APRIL: Lapan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyimpan hidupan liar dilindungi tanpa lesen, berupa lapan bahagian badan pelanduk pada 2021.

Rusli Che Omar, Jafri Md Taib, Mohamed Khalid Ibrahim, Azaruddin Yahaya, Mohd Izammudin Zainol, Mohd Yusof Mohamed Yunos, Mahadzir Osman dan Jasius Joseph, yang masing-masing berusia antara 36 hingga 50 tahun, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan.

Kesemua anggota keselamatan itu, didakwa secara bersama-sama menyimpan tanpa lesen lapan bahagian pelanduk (Tragulus javanicus) iaitu hidupan liar dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), di dalam sebuah tong coleman yang diletakkan di bahagian belakang sebuah kenderaan.

Kesalahan itu dilakukan di Jalan Besar Kampung Talang, Empangan Talang, Kuala Pilah, pada 17 Jan 2021, kira-kira 1 tengah hari dan didakwa mengikut Seksyen 60(1)(b), Akta 716 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum di bawah seksyen 60(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan mereka boleh didenda tidak melebihi RM50,000, dipenjara tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Amanina Mohamad Anuar, manakala Jafri diwakili peguam Datuk Hanif Hassan, sementara tertuduh lain tidak diwakili peguam.

Amanina memohon mahkamah mengenakan jaminan RM20,000 bagi setiap seorang, namun kesemua mereka merayu wang jaminan dikurangkan kepada RM2,000 atas alasan berstatus anggota berpangkat rendah, mempunyai kekangan kewangan terhad serta perlu menanggung isi rumah termasuk keluarga di kampung.

Kesemua tertuduh juga memberi jaminan akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan perbicaraan kes tersebut berjalan lancar.

Hakim Mazni Nawi kemudiannya menetapkan wang jaminan RM2,000 setiap seorang dan sebutan semula kes pada 12 Jun ini.

– BERNAMA


Pengarang :