Gambar hiasan. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Lelaki parah dipijak gajah ketika berhenti membuang air di Gerik

IPOH, 12 APRIL: Lelaki parah akibat dipijak gajah di Tugu Peringatan Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli dekat Gerik, malam tadi.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak Yusoff Shariff berkata mangsa berusia 55 tahun dari Bersia, di sini patah kaki dan tulang rusuk dalam kejadian 7 malam itu.

Beliau berkata mangsa diserang gajah ketika berhenti di lokasi berkenaan untuk membuang air.

“Mangsa dibawa ke Hospital Gerik sebelum dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk menerima rawatan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Yusoff berkata orang ramai dinasihatkan tidak berhenti di tepi laluan JRTB kerana kawasan sekitar yang berhutan dan gelap pada waktu malam.

“Orang ramai perlu mengambil perhatian papan tanda yang diletakkan memaklumkan kawasan di sekitar berkenaan merupakan tempat berkeliaran dan lintasan gajah,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :