Gunung Ruang di Indonesia meletus tiga kali sejak 17 April 2024 dan kira-kira 800 penduduk di Wilayah Sulawesi Utara dipindahkan. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

MetMalaysia terus pantau perkembangan letusan Gunung Ruang

KUALA LUMPUR, 19 APRIL: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) akan terus memantau perkembangan dan sebarang perubahan insiden letusan gunung berapi Gunung Ruang di Indonesia bagi menilai kesannya terhadap Malaysia, kata Ketua Pengarah berkenaan Muhammad Helmi Abdullah.

Beliau berkata pihaknya juga melaksanakan simulasi untuk mengenal pasti potensi berlaku tsunami akibat letusan itu dan ancamannya kepada Malaysia.

“Tiada tsunami dijangkakan (pada masa ini) dan METMalaysia akan terus memantau untuk sebarang kemungkinan memandangkan letusan gunung berapi boleh menyebabkan tsunami sekiranya ada kaldera yang runtuh akibat aktiviti gunung berapi di kawasan lautan yang memungkinkan peralihan sejumlah besar air laut.

“Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG), Indonesia ada mengeluarkan amaran tsunami sebagai langkah berjaga-jaga untuk rantau berdekatan kawasan letusan gunung berapi terbabit,” katanya kepada Bernama.

Pada 9.45 malam Selasa lepas, letusan letupan berlaku dengan ketinggian dianggarkan 2,000 meter dari puncak, menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB).

Jurucakap BNPB Abdul Muhari dalam satu kenyataan menjelaskan keadaan bertambah buruk, dengan abu letusan itu mencecah 2,500 meter pada 17 April pukul 1.08 pagi.

Badan geologi, Kementerian Tenaga dan Sumber Daya Mineral Indonesia memberi amaran potensi ketinggian gelombang tsunami akibat letusan Gunung Ruang di Kabupaten Sitaro, Sulawesi Utara boleh mencapai 25 meter.

– BERNAMA


Pengarang :