Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur bersama Jabatan Alam Sekitar mengadakan sekatan jalan raya menerusi Op Selamat ke-19 sempena Tahun Baharu Cina di Stesen LRT Bangsar menghala ibu negara pada 21 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Op Selamat 22 sempena Aidilfitri catat penurunan kes kemalangan, kematian

KUALA LUMPUR, 18 APRIL: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan penurunan 1.41 peratus kes kemalangan jalan raya di seluruh negara sepanjang tempoh Op Selamat 22 sempena sambutan Aidilfitri bermula 8 hingga 13 April lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata jumlah kes kemalangan menurun kepada 8,862 kes berbanding 8,989 kes tahun lalu.

“Kes kemalangan maut juga menurun 10 peratus dengan 105 kes berbanding 117 kes pada tahun lepas, manakala jumlah kematian turut mencatatkan pengurangan enam peratus dengan 119 kematian berbanding 126 kematian pada tahun sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Majlis Penganugerahan Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat 22 sempena Hari Raya Aidilfitri 2024 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nasri Omar.

Razarudin berkata penunggang dan pembonceng motosikal masih mencatatkan kematian tertinggi dengan 79 kematian berbanding 80 kematian yang direkodkan tahun lalu.

“Berdasarkan kajian, kemalangan yang berlaku berpunca daripada kegagalan mengawal kenderaan sehingga terbabas akibat keletihan dan mengantuk serta tidak menjaga jarak pemanduan selamat antara kenderaan.

“Saya percaya penurunan kes kemalangan adalah impak positif hasil daripada kesedaran masyarakat terhadap kepentingan keselamatan jalan raya serta amalan pemanduan berhemah,” katanya.

Selain itu, Razarudin berkata JSPT merekodkan peningkatan jumlah saman pada Op Selamat 22 apabila 114,467 saman dikeluarkan berbanding 29,216 saman pada Op Selamat lepas iaitu meningkat kepada 85,251 saman.

Katanya statistik kes jenayah pecah rumah pada Op Selamat kali ini mencatatkan 189 kes berbanding 272 kes tahun lalu.

– BERNAMA


Pengarang :