AGENDAJENAYAH

Peniaga warung terlepas hukuman mati, diganti 35 tahun penjara

KOTA BHARU, 17 APRIL: Seorang peniaga warung terlepas daripada tali gantung apabila Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikan hukuman mati yang dijatuhkan terhadapnya dengan penjara 35 tahun atas kesalahan membunuh seorang lelaki, sembilan tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Mat dalam keputusan sebulat suara membenarkan permohonan semakan Mohamad Zulkifli Ismail mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, Seksyen 2(4) dan 3(1) Akta Semakan Hukuman mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.

Hakim Tengku Maimum mengetepikan hukuman mati terhadap Mohamad Zulkifli Ismail, 59, yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 27 Mei 2018 dan digantikan dengan hukuman penjara 35 tahun dari tarikh tangkap, iaitu pada 7 Dis 2015.

Mohamad Zulkifli telah menjalani hukuman penjara selama sembilan tahun.

Turut bersidang Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nordin Hassan.

Pada 27 Mei 2018, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu menjatuhkan hukuman mati terhadap Mohamad Zulkifli selepas didapati bersalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh pencari besi Zulkefle Abdullah, 37, di kawasan rumah di Jalan Kemaman-Dungun, Kampung Labohan, Kerteh pada 10.30 pagi 7 Dis 2015.

Mohamad Zulkifli kemudian merayu terhadap keputusan itu, tetapi Mahkamah Persekutuan pada 25 Okt 2021 mengekalkan sabitan serta hukuman.

Terdahulu, peguam Mazlan Md Zain yang mewakili Mohamad Zulkifli berkata fakta kes menunjukkan bahawa perayu merupakan mangsa, kerana kejadian berdekatan rumahnya.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal@Zainol memohon mahkamah mengekalkan hukuman kerana kerana perbuatan yang dilakukan lelaki itu dianggap terlalu kejam, kerana membiarkan mangsa mati di tempat kejadian.

Kes pembunuhan itu mendapat perhatian ramai sebelum ini, ekoran tular di media sosial yang mendakwa Mohamad Zulkifli melakukan perbuatan itu kerana mempertahankan diri daripada kedua-dua mangsa terbabit yang cuba merompak.

Kejadian membawa kepada penubuhan kumpulan ‘Selamatkan Zulkifli’ di laman sosial Facebook yang mencecah 71,000 pengikut dan turut menyiarkan pelbagai kenyataan negatif mempertikai kuasa polis menangkap Mohamed Zulkifli selepas kejadian dan proses perundangan.

Kes Mohamad Zulkifli itu merupakan antara 28 kes semakan dilakukan semasa Persidangan Mahkamah Persekutuan yang diadakan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, di sini, hari ini melibatkan juga kes-kes di negeri Pantai Timur.

— BERNAMA


Pengarang :