Keadaan kawasan Lumajang, Jawa Timur yang mengalami limpahan banjir lahar sejuk yang dicetuskan Gunung Semeru pada 18 April 2024. Foto Facebook Badan Nasional Penanggulangan Bencana
AGENDAGLOBAL

Puluhan keluarga dipindahkan susulan banjir lahar sejuk di Jawa Timur

JAKARTA, 19 APRIL: Sekurang-kurangnya 32 keluarga di Lumajang, Jawa Timur dipindahkan secara sukarela ke kawasan lebih selamat susulan limpahan banjir lahar sejuk yang dicetuskan Gunung Semeru pada Khamis.

Limpahan lahar sejuk berlaku selepas hujan sederhana hingga lebat di kawasan Gunung Semeru sepanjang petang, menyebabkan Lembangan Sungai Regoyo melimpah dan membanjiri kawasan penempatan berhampiran.

Badan Penanggulangan Bencana Daerah (BPBD) Lumajang telah mengerahkan sebuah bot untuk mempercepatkan proses perpindahan selepas banjir itu merosakkan tiga jambatan dan jalan utama dinaiki air.

Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) telah meminta pihak berkuasa tempatan melaksanakan langkah mitigasi dengan memantau potensi taburan hujan secara berkala.

Jurucakap BNPB, Abdul Muhari menekankan kepentingan menjaga penduduk dan pengunjung di sekitar Lembangan Sungai Regoyo untuk meminimumkan kesan sekiranya berlaku banjir lahar yang berulang.

Gunung Semeru, satu daripada gunung berapi aktif di Indonesia, meletus pada Jumaat pukul 6.45 pagi Waktu Indonesia Barat, dengan memuntahkan kepulan abu sehingga 500 meter ke udara dari atas kawah.

Ia susulan letusan pada Khamis pukul 12.34 tengah malam, menyaksikan kepulan abu mencapai kira-kira 800 meter ke udara dari atas kawah, menurut Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bahaya Geologi negara, PVMBG.

Gunung Semeru, lokasi tumpuan pendaki, kekal pada status amaran Tahap III setakat ini.

-BERNAMA


Pengarang :