RENCANA

Isu keselamatan punca penunggang motosikal guna lebuh raya

SHAH ALAM, 29 JULAI: Laluan motosikal yang kurang selesa dan ‘tidak selamat’ menjadi faktor utama penunggang motosikal memilih lebuh raya sebagai jalan utama mereka ke mana-mana destinasi.

Ketua Konvoi (Road Captain) kelab motosikal ‘Kepala Kuasa Motorcycle Group’ (KKMG) Muhammad Naguib Kaharudin berkata, kebanyakan penunggang motosikal kini lebih mengutamakan aspek keselamatan berbanding mengikut peraturan yang mewajibkan mereka menggunakan laluan tersebut.

Sebagai contoh, Muhammad Naguib, 45, menyebut perjalanan dari Kuala Lumpur ke Shah Alam yang mana rata-rata penunggang lebih memilih untuk menggunakan lebuh raya kerana faktor laluan khas motosikal yang sempit dan keadaan jalan yang berlopak.

“Saya adalah penunggang motosikal bersaiz kecil dan besar, bagi saya laluan yang disediakan itu tidak sesuai pun untuk mana-mana jenis motosikal,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata laluan khas itu menyukarkan penunggang apabila mereka berada dalam situasi kecemasan dan ketika mahu memotong motosikal di hadapan.

“Tiada lorong ekstra di laluan ini, bayangkan apabila ada motosikal yang rosak dan terpaksa berhenti di tepi terutamanya ketika berada dalam terowong (laluan motosikal).

“Dan apabila kita bawa motosikal perlahan dan motosikal yang di belakang mahu memotong, situasi ini agak berbahaya kerana jarak kita dengan motosikal lain sangat dekat,” katanya.

Selain itu, Muhammad Naguib berkata, keadaan pada waktu malam sehingga awal pagi di laluan khas tersebut yang agak sunyi dan gelap juga menjadi kekangan kepada penunggang motosikal.

Katanya, ekoran faktor itu penunggang lebih rela disaman polis daripada mengambil risiko membahayakan diri dengan mengikuti laluan berkenaan.

“Saya pernah kemalangan sebelum ini ketika menunggang motosikal berkuasa tinggi akibat jalan laluan yang tidak elok.

“Disebabkan itu saya sanggup membayar saman kerana kesalahan tidak menggunakan laluan motosikal daripada terpaksa menggadai nyawa atau mengalami kecederaan anggota.

”Atau mengeluarkan lebih banyak belanja sehingga mencecah ribuan ringgit untuk membaiki motosikal yang rosak (akibat kemalangan),” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa mengambil serius berhubung perkara itu.

Beliau berkata, laluan motosikal yang lebih besar dan dilengkapi kemudahan seperti lampu yang terang selain penyediaan kawasan rehat untuk penunggang ketika hujan dan kecemasan, adalah penting sebagai langkah keselamatan.

“Kita tidak mahu kejadian yang berlaku ke atas pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal di lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan baru-baru ini berulang,” katanya.

Kemalangan itu berlaku pada 8.30 pagi, ketika Muhammad Hamadi Zakaria dan isterinya, Nur Syuhadah Zaini, masing-masing berusia 31 tahun, dalam perjalanan ke tempat kerja.

Kejadian itu dipercayai berlaku apabila motosikal berkuasa tinggi Honda CBR 500R dinaiki pasangan berkenaan tidak sempat mengelak dua motosikal bergesel di hadapan mereka sebelum terbabas dan melanggar penghadang jalan.

-BERNAMA


Pengarang :