PBTSELANGOR

MBSA terima permohonan maaf, lulus permit hiburan Pak Ya

SHAH ALAM, 8 FEB: Hasrat pelawak Ilya Buang Shaharum atau Pak Ya untuk tampil dalam dua episod sitkom Sepahtu Reunion Live 2020 di Royal Teater di sini berhasil apabila Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) meluluskan permit hiburan ahli kumpulan Rare itu semalam.

Permit itu disampaikan Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan selepas kumpulan turut dianggotai Ajak Shiro dan Ropie memohon maaf secara terbuka susulan keterlanjuran menyindir kerajaan ketika persembahan di pentas akhir Maharaja Lawak Mega (MLM) 2019 pada 10 Januari lalu.

“MBSA mengingatkan kepada mana-mana pihak yang ingin mengadakan persembahan hiburan di kawasan pentadbiran ini supaya mematuhi syarat dalam permit hiburan dengan tidak menyentuh sensitiviti masyarakat terutama melibatkan isu perkauman.

“Semoga agenda seni tempatan negara terus bermanfaat kepada masyarakat,” kata kenyataan dimuat naik di Facebook MBSA malam tadi.

Difahamkan, pada malam MLM 2019 lalu, kumpulan Rare melakukan lawak sindiran menyaksikan Ropie menggunakan penapis air konon untuk menapis kadar neutral dan kandungan pH (air).

Kemudian Ilya bertanya jika pH air itu okey, namun Ropie memberi jawapan ‘teruk’. PH dalam pengertian politik merujuk Pakatan Harapan.


Pengarang :