Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Dato’ Abdul Ghariff Ramin. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Lebih 70 belia berminat sertai program jaminan bekalan makanan

AMPANG, 27 JULAI: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menerima 78 penyertaan daripada golongan belia yang ingin menyertai program jaminan bekalan makanan agropreneur.

Ketua pegawai eksekutif kumpulannya berkata program di bawah Pakej Kita Selangor 2.0 bermula pertengahan Ogos akan menyediakan tanah, modal pusingan dan bimbingan bagi menarik peserta terbabit untuk menjadi usahawan agro.

“Selain permohonan di bawah PKPS, Unit Perancang Ekonomi Negeri juga mempunyai senarai peserta dan akan digabungkan semuanya. Sesi pemilihan akan dibuat awal Ogos yang diputuskan EXCO industri asas tani (Ir Izham Hashim),” kata Dato’ Abdul Ghariff Ramin.

Beliau ditemui pada program sumbangan bakul makanan di Pangsapuri Merpati A, Jalan Pandan Indah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di sini hari ini.

Program jaminan bekalan makanan antara 25 inisiatif Kerajaan Negeri dalam Pakej Kita Selangor 2.0 memfokus merancakkan sektor pertanian agro makanan, kecekapan rantaian bekalan dan melahirkan 1,000 agropreneur dalam lima tahun.

PKPS mencadangkan tanah Kerajaan Negeri di Bukit Changgang dijadikan projek perintis kepada agropreneur itu dengan purata satu ekar bagi setiap peserta.

Agensi itu juga akan menyediakan modal pusingan RM10 juta yang dikendalikan menerusi usahasama strategik bersama Agro Bank.


Pengarang :