Atlet menembak negara, Hafiz Adzha ketika beraksi dalam acara 25 meter Rapid Fire Pistol Lelaki sempena temasya Sukan SEA ke-31 di Pusat Latihan Sukan Nasional Hanoi pada 16 Mei 2022, Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Lima tahun tidak beraksi, atlet menembak raih perak di Sukan SEA

HANOI, 16 MEI: Biarpun sudah lima tahun tidak beraksi di pentas antarabangsa, atlet menembak lelaki negara Hafiz Adzha menunjukkan beliau masih belum kehilangan taring apabila masih mampu mencipta kejutan merangkul pingat perak 25 meter (m) Rapid Fire Pistol Sukan SEA ke-31, hari ini.

Pada saingan final yang berlangsung di Pusat Latihan Sukan Nasional di sini, Hafiz hanya dipisahkan dua mata daripada membawa pulang emas yang menjadi milik atlet tuan rumah Thanh Ha Minh selepas mengumpul 27 mata keseluruhan.

Pingat gangsa diraih wakil Thailand Ram Khamhaeng selepas hanya mengumpul 20 mata.

“Saya sangat berpuas hati dengan pencapaian saya sebab saya saya dah lama tidak menyertai pertandingan luar, ini pertandingan pertama. Saya sebenarnya tidak fokus kepada acara individu sebaliknya untuk berpasukan.

Tetapi bila acara berpasukan tidak berapa menjadi saya terpaksa memberikan segala-galanya dalam acara ini,” katanya yang merupakan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada pemberita selepas saingan akhir tamat.

Mengulas mengenai aksinya, beliau mengakui amat gementar sepanjang saingan, namun berjaya mengawal perasaan dan tekanan yang diberikan penonton tuan rumah terutama sewaktu pertarungan merebut pingat emas.

“Mungkin kerana tidak cukup pendedahan di luar, apabila lama tidak menyertai pertandingan besar ia membuatkan saya amat gementar, itu pun saya cuba kawal sebaiknya,” kata beliau.

Sebagai rekod, pada edisi Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur, Hafiz Adzha menamatkan saingan di tempat kelima selepas kali terakhir membuat penampilan di temasya sukan dwitahunan itu pada edisi 2007 di Korat, Thailand dengan meraih masing-masing satu emas (berpasukan) dan gangsa acara individu.

Terdahulu, dalam acara berpasukan, beliau bersama Hasli Izwan Amir Hassan dan Mohd Ridhuan Mohamed menamatkan saingan di tempat keempat selepas mengumpul 1,691 mata keseluruhan.

Emas dimenangi Vietnam yang mengutip 1,706 mata, perak Thailand (1,698 mata) dan gangsa milik Indonesia yang mengumpul 1,710 mata.

Dalam pada itu, pengurus pasukan Hayati Shamsuri berharap kejayaan hari ini dapat membakar semangat kem negara dalam mencapai sasaran satu emas dan empat gangsa yang ditetapkan.

“Kejayaan Hafiz ibarat pencetus kerana kita sasar hanya gangsa dan bila dapat perak ini satu bonus buat pasukan. Saya berharap momentum cemerlang ini dapat diteruskan barisan atlet yang lain,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :