Pekerja orang kurang upaya (OKU) Lim Guan Chooi, 35, ketika ditembual selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan Flex pada 17 Julai 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Syarikat digalak wujud lebih banyak peluang kerja untuk OKU

BUKIT MERTAJAM, 17 JULAI: Kementerian Sumber Manusia mahu lebih banyak syarikat yang berjaya membantu melahirkan peluang pekerjaan kepada golongan orang kurang upaya (OKU).

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata ketika ini, pihaknya sedang bekerjasama dengan beberapa syarikat besar bagi membantu memberi pekerjaan kepada golongan itu dan ia selari dengan aspirasi kerajaan supaya tiada mana-mana lapisan masyarakat tercicir daripada arus pembangunan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Flex Pulau Pinang yang telah mengambil inisiatif bekerjasama dengan Perkeso bagi memberi ruang dan peluang kepada OKU untuk mendapatkan peluang pekerjaan kepada golongan itu, saya harap lebih ramai majikan mencontohi inisiatif proaktif tersebut bagi merancakkan penempatan pekerja OKU.

“Maka dengan adanya perjanjian ini, Perkeso akan kenal pasti OKU dan akan dipanjangkan kepada Flex Pulau Pinang untuk memberi peluang pekerjaan dengan memberi temu duga kepada mereka, kita lihat Flex melahirkan suasana seperti ini dan saya yakin syarikat lain jua akan mengikutinya,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Perkeso dan Flex Pulau Pinang di sini hari ini.

Perkeso diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed manakala Flex Pulau Pinang oleh Naib Presidennya P Viswanathan.

Pada majlis itu, Saravanan turut merasmikan Hab Satelit MYfutureJobs@Flex.

Antara bidang kerjasama strategik di bawah MoU itu merangkumi aspek penyelidikan dan pengajaran, program kebolehpasaran kerjaya, perkhidmatan pekerjaan menerusi Portal Pekerjaan Negara MYFutureJobs, sesi Training of Trainers (TOT) dan Program Return to Work (RTW) Perkeso.

Viswanathan pula berkata seramai 277 OKU telah mula bekerja di Flex Pulau Pinang sejak program itu diperkenal pada 2018 dan pihaknya menjangkakan lebih ramai lagi akan diambil.

Mohd Kamal Mohd Sidek, 32, yang bekerja di syarikat itu sejak sembilan bulan lepas, berkata Perkeso banyak membantunya termasuk mendapatkan pekerjaan di Flex Pulau Pinang.

“Saya bekerja sebagai operator kilang di sini dan Flex Pulau Pinang banyak bantu golongan seperti kami …dari segi ruang atau tempat kerja juga sangat selesa kerana syarikat itu memang mengambil berat hal tersebut,” katanya.

Lim Guan Chooi, 35, yang bekerja di situ sejak empat tahun lepas sebagai operator pengeluaran dan majikannya melayan mereka sama seperti pekerja normal lain.

“Saya gembira bekerja di sini kerana semua pihak memberi komitmen yang bagus kepada golongan OKU malah mereka juga tidak membezakan layanan terhadap kami… jika pekerja lain dapat anugerah, kami juga akan dapat,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :