Stadium Shah Alam yang menjadi ikon Selangor perlu menjalani proses baik pulih secara menyeluruh. Foto ARKIB SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGORSUKANKINI

Isu Stadium Shah Alam: Kerajaan Negeri sedia bincang dengan FAS

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 1 FEB: Kerajaan Negeri sedia mengadakan perbincangan dengan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) bagi mencari penyelesaian dalam isu pengunaan Stadium Shah Alam untuk kegunaan pasukan Selangor.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata Kerajaan Negeri sentiasa bersikap terbuka dalam perkara itu demi kebaikan dan masa depan bola sepak Selangor serta penyokongnya.

Beliau berkata, bagi FAS ialah menunjukkan komitmen bagi membaiki hubungan keruh berlaku sebelum ini yang menimbulkan masalah dalam perkara ini.

“FAS perlu bertolak ansur dan ia boleh diselesaikan tetapi kalau keadaan terus tegang, saya tidak boleh menjamin apa-apa.

“Bagi Kerajaan Negeri, kita mahu melihat komitmen daripada FAS dalam perkara ini bagi membaiki hubungan dan kita bersedia malahan sampai ke tahap mengembalikan peruntukan seperti mana dahulu,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Amirudin berkata demikian selepas mengadakan perbincangan dengan wakil penyokong bola sepak Selangor dan menerima memorandum daripada mereka supaya penyelesaian dapat dicapai mengenai kemulut bola sepak Selangor dan penggunaan Stadium Shah Alam.

Beliau menjelaskan, perbincangan awal kini berjalan dan pihaknya sedang mengenal pasti beberapa pilihan supaya masalah itu dapat diselesaikan.

“Saya memang faham, penyokong inginkan kemudahan sebegitu untuk Selangor bermain di Stadium Shah Alam dan pasukan ini mempunyai tradisi cukup panjang.

“Perbincangan telah bermula selepas kira-kira setahun tidak berbincang, bagaimanapun ia memerlukan sedikit masa.

“Untuk perlawanan awal liga mungkin tidak boleh tetapi agak selesa untuk direalisasikan bagi pusingan kedua iaitu membolehkan Selangor beraksi di Stadium Shah Alam,” katanya.

Mengulas lanjut, mantan Pengurus Selangor itu berkata, permohonan FAS untuk tujuan itu hanya dibuat sekali pada 13 Disember dan diterima Pejabat Dato’ Menteri Besar, 18 Disember tahun lalu.

Katanya, selepas lebih setahun isu terbabit tidak diperkatakan kini perbincangan telah berjalan dua kali dan Kerajaan Negeri akan berusaha menanganinya untuk manfaat semua pihak.

“Untuk rekod, kita tidak menghalang FAS menggunakan segala kemudahan setakat ini iaitu menggunakan Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Selayang, memang tiada halangan secara total.

“Cuma bila tiada hubungan rasmi serta agak keruh antara FAS dan Kerajaan Negeri maka penggunaan Stadium Shah Alam menjadi isu utama seperti mana kenyataan media saya, baru-baru ini,” katanya.

Selain PKNS FC, kebenaran untuk Felcra FC menggunakan Stadium Shah Alam pula, katanya, adalah perbincangan di antara pengurusan stadium, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM dan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP).

“Ia atas permohonan biasa seperti sebelum ini untuk Perak apabila stadium mereka bermasalah maka kita izinkan. Isu ini berbeza apabila membabitkan Selangor,” katanya.

=EZY=


Pengarang :