Gambar hiasan. ARKIB SELANGORKINI
NASIONAL

Kerajaan optimis anak FELDA rebut peluang sertai TVET

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 18 APRIL: Kerajaan optimis generasi baharu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) bakal merebut peluang menyertai bidang pendidikan kemahiran menerusi Skim Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, mereka yang kurang berminat terhadap pendidikan formal digalakkan untuk menyertai bidang TVET, sekali gus dapat mengembangkan hasil pertanian FELDA.

“Selain memperluaskan pendidikan formal seperti di universiti atau kolej, kerajaan juga menumpukan kepada ilmu teknologi dan vokasional kerana kita lihat ramai antara mereka mempunyai kebolehan.

“Mungkin daripada segi pendidikan formal ada yang kurang berminat, oleh itu kita mahu menekankan dalam model baharu ini supaya pendidikan dan kemahiran bersesuaian untuk membolehkan mereka ambil peluang mewujudkan FELDA sebagai sebuah kawasan pembangunan ekonomi yang pesat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Rancangan Soal Rakyat : Ke Arah Kelestarian FELDA di TV3, malam tadi.

Minggu lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Sri Mohamed Azmin Ali ketika membentangkan Kertas Putih FELDA di Dewan Rakyat, turut menyebut mahu memperkasakan peneroka dan generasi baharu FELDA.

Mohamed Azmin menjelaskan, FELDA akan terus memastikan penekanan dalam aspek pendidikan supaya generasi baharu termasuk wanita dan belia tidak ketinggalan dalam arus kemajuan.

PUTRAJAYA, 18 April — Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Dr Mohd Radzi Md Jidin ketika ditemu bual dengan Bernama berkenaan Kertas Putih ‘Ke Arah Kelestarian Lembaga Tanah Persekutuan (FELDA)’ di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra baru-baru ini.
Kertas putih berkenaan dibentangkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Parlimen, Rabu lepas, bagi menyuntik tenaga baharu dan mengoptimumkan potensi melalui pelan jangka pendek, sederhana dan panjang untuk mengembalikan kegemilangan Felda.
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Katanya, usaha akan dipergiat dalam pelaburan modal insan bagi memastikan akses yang saksama kepada pendidikan dan latihan berkualiti kepada anak peneroka FELDA.

“Mereka akan dilengkapkan dengan pengetahuan yang mantap dan kemahiran pelbagai bagi setiap peringkat pendidikan untuk meningkatkan peluang pekerjaan dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi.

“Usaha ini akan dilaksanakan bersama golongan profesional yang terdiri daripada anak peneroka yang sudah berjaya supaya mereka menjadi mentor dan kembali menyumbang kepada pengukuhan masyarakat FELDA.

“Skim baharu untuk membantu pendidikan anak peneroka melalui kerjasama dengan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan syarikat swasta akan diperkenalkan dengan memberi tumpuan khusus kepada aspek TVET,” katanya.


Pengarang :