Pemain boling wanita negara, Esther Cheah, Shalin Zulkifli dan Sin Li Jane yang beraksi di Kejohanan Tenpin Boling Asia ke-25 di Kuwait. Foto FB MALAYSIAN BOWLING
AGENDASUKANKINI

Malaysia tambah dua emas acara trio lelaki dan wanita

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Skuad negara terus menampilkan aksi cemerlang dengan merangkul dua lagi pingat emas di Kejohanan Tenpin Boling Asia ke-25 di Kuwait, malam tadi.

Dua pingat emas tambahan itu diperoleh menerusi acara trio lelaki dan wanita selepas dua emas negara sebelum ini diperoleh menerusi acara individu lelaki, Timmy Tan dan Shalin Zulkifli untuk wanita.

Pada aksi berkenaan, trio wanita terdiri daripada Shalin, Sin Li Jane dan Esther Cheah merangkul emas dengan catatan 4,534 jatuhan pin selepas saingan enam blok sejak semalam.

Trio negara berjaya mengetepikan cabaran dua pasukan Korea Selatan dengan masing-masing melakukan 4,331 jatuhan pin dan 4,297 jatuhan pin untuk tempat kedua dan ketiga.

Trio lelaki negara dengan gandingan Muhammad Rafiq Ismail, Syafiq Ridhwan Abdul Malek dan Ahmad Muaz Fisol merakamkan 4,290 jatuhan pin, sekali gus mengatasi pasukan tuan rumah, Kuwait dengan kelebihan 10 pin.

Kuwait dengan gandingan Khaled Aldubyyan, Jasem Alsaqer dan Mostafa Almousawi mengutip pingat perak dengan 4,280 jatuhan pin manakala satu lagi trio negara menambah koleksi pingat apabila gandingan Hafiz Zainuddin, Timmy dan Tun Hakim Tun Hasnul Hasnul Azam mendapat gangsa dengan catatan 4,246 jatuhan pin.

Skuad negara akan meneruskan cabaran dalam acara lima berpasukan lelaki dan wanita pada Ahad dan Isnin ini.

– BERNAMA


Pengarang :