Tun Dr Mahathir Mohamad disambut Menteri Luar Turkmenistan, Rasit Meredow ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ashgabat sempena lawatan rasmi 2 hari ke Turkmenistan pada 27 Oktober 2019. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Dr Mahathir tiba di Ashgabat untuk lawatan dua hari ke Turkmenistan

ASHGABAT (Turkmenistan), 27 OKT: Baru sahaja selesai menghadiri Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) ke-18 di Azerbaijan, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di sini untuk memulakan lawatan rasmi dua hari ke Turkmenistan, bermula Ahad.

Pesawat khas yang membawa Dr Mahathir dari Lapangan Terbang Antarabangsa Heydar Aliyev di Baku, Azerbaijan, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Ashgabat pada jam 9.35 malam waktu tempatan (12.35 tengah malam waktu Malaysia).

​​​​​​​Ketibaan Perdana Menteri dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali disambut Menteri Luar Turkmenistan, Rasit Meredow, Duta Besar Malaysia ke Turkmenistan, Roseli Abdul dan pegawai-pegawai kanan dari kedua-dua negara.

Delegasi Malaysia semasa lawatan itu termasuk Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Lawatan Dr Mahathir adalah atas undangan Presiden Turkmenistan, Gurbanguly Berdimuhamedov, yang pernah melawat Malaysia dua kali pada Disember 2011 dan November 2016.

Program Dr Mahathir bermula Ahad ketika beliau akan menghadiri upacara sambutan rasmi di Dataran Presiden.

Kemudian, Dr Mahathir dan Berdimuhamedov akan mengadakan Mesyuarat Terhad diikuti dengan Mesyuarat Delegasi serta majlis tandatangan, dan sidang media bersama kedua-dua pemimpin itu di Istana Presiden.

Selepas sidang media, Dr Mahathir dijadual menghadiri jamuan makan tengah hari yang dihoskan oleh Berdimuhamedov.

Pada sebelah petang, Dr Mahahthir dijadual mengadakan perjumpaan dengan warga diaspora Malaysia di Turkmenistan.

Sebelum mengakhiri lawatan, Dr Mahathir dijangka mengadakan sidang media untuk media Malaysia pada malam Ahad.

Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah dijadual pulang ke Malaysia pada Isnin ini.

– BERNAMA


Pengarang :