AGENSISELANGOR

RM40 juta realisasi konsep rumah taman dalam bandar

SHAH ALAM, 1 NOV: Sejumlah RM40 juta diperuntukkan bagi projek perintis pembangunan Taman Rakyat Selangor pada tahun depan, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Katanya model jaringan hijau yang akan direalisasikan Majlis Bandaraya Shah Alam itu bertujuan mewujudkan konsep perumahan taman dalam bandar.

“Perancangan pembangunan taman rakyat itu akan dimulakan pada tahun 2020 tetapi pembangunan fizikal akan bermula pada 2021 di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

“Usaha sama bersama Pihak Berkuasa Tempatan ini adalah salah satu inisiatif untuk meningkatkan jumlah kawasan lapang dan hijau bagi tujuan rekreasi santai yang dekat dengan tempat tinggal selaras garis panduan yang ditetapkan PlanMalaysia,” katanya pada pembentangan Belanjawan #Selangor2020.

Amirudin berkata, sejumlah RM162,950 turut diperuntukkan bagi pembiayaan kajian reka bentuk dan model jaringan hijau bagi kawasan zon 1 yang dimulakan pada 2019 dan akan disempurnakan pada 2021.

“Untuk tahun 2020, Kerajaan Negeri akan memperuntukan RM500,000 bagi program Tanam Pokok Dalam Bandar dan menyasarkan untuk menanam 5,000 pokok di sekitar bandar utama di Selangor.

“Ia sejajar dengan kerangka ‘Low Carbon City Framework’ (LCCF) dan elemen penghijauan kawasan dalam taman serta usaha mencapai pengurangan karbon dioksida sebanyak 40 peratus menjelang
2030,” katanya.

Beliau berkata komitmen Kerajaan Negeri dalam melaksanakan polisi itu menerima pengiktirafan apabila Pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor menerima anugerah Diamond Recognition, Low Carbon Cities Award.


Pengarang :