Dato Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

MB mahu hukuman lebih tegas ke atas pencemar air

BANGI, 23 DIS: Dato’ Menteri Besar mahu hukuman lebih tegas dikenakan ke atas individu yang tidak bertanggungjawab menyebabkan pencemaran air supaya bekalan air di Selangor terus terpelihara.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, sehingga ini hukuman maksimum kepada pencemar adalah denda RM500,000 serta penjara lima tahun, tetapi Kerajaan Selangor bertegas mahu hukuman ditingkatkan terhadap pesalah ini.

“Kerajaan Negeri boleh ambil tindakan undang-undang namun Kerajaan Pusat memaklumkan mereka mahu menetapkan enakmen ini, jadi ia mengambil masa sedikit,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas lawatan ke Kolam Tasik Idaman bersama EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian, di sini, hari ini.

Menjelaskan lebih lanjut, Amirudin berkata, pihak berkaitan gagal mengesan penjenayah yang membuang bahan tercemar berikutan tempoh untuk mengesan bahan pencemaran mengambil masa yang agak lama.

Katanya, bahan pencemaran itu dibuang ke lubang utama yang kemudiannya memasuki saluran loji rawatan Indah Water Konsortium.

“Selepas melalui satu proses, ia kemudiannya dilepaskan ke sungai, tetapi kesan pencemaran hanya dapat dikesan di muka sauk sungai utama iaitu kira-kira 10 hingga ke 13 kilometer dari kawasan loji.

“Jadi tempoh masa ini berlaku dalam tempoh empat hingga lima jam yang mana sudah tentu pesalah ini tidak dapat dikesan, mungkin individu berkenaan sudah tidak ada di Malaysia ataupun sedang bersembunyi,” katanya.


Pengarang :