Atlet negara Anna Ching Yik Cheong (kanan) dan Lim Chiew Sien ketika beraksi menentang rakan senegara Cheah Yee See dan Lim Peiy Yee dalam pusingan pertama beregu wanita pada Kejohanan Badminton Perodua Malaysia Master 2020 di Axiata Arena Bukit Jalil pada 7 Januari 2020. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Chiew Sien temui rakan regu baharu, kongsi impian ke Olimpik

KUALA LUMPUR, 8 JAN: Pemain beregu wanita negara, Lim Chiew Sien membayangkan beliau sudah menemui rakan regu baharu yang sedia berkongsi impian sama selepas meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akhir bulan ini.

Pemain berusia 25 tahun ini yang terkeluar daripada senarai BAM bagaimanapun enggan mendedahkan nama pasangan baharunya kerana ia masih dalam peringkat perbincangan.

“Adalah… tapi saya rasa tidak boleh cakap. Anda akan tahu nanti. Kita masih di peringkat perbincangan… dia pernah menyertai BAM dan sudah main profesional.

“Impian saya adalah untuk beraksi di Olimpik. Walaupun amat sukar namun saya akan melakukan yang terbaik dan berharap akan mendapat gandingan yang mempunyai cita-cita sama dan berjuang mencapai impian itu,” katanya ketika ditemui selepas menamatkan aksi pembukaan pada Kejohanan Badminton Malaysia Master hari ini.

Chiew Sien adalah seorang daripada tujuh pemain badminton negara yang digugurkan BAM dalam usaha membentuk skuad baharu Projek 24.

Selain Chiew Sien, turut digugurkan adalah tiga pemain perseorangan lelaki iaitu Song Joo Vern, Tan Jia Wei dan Muhammad Ziyad Md Taha serta seorang lagi pemain pasangan beregu wanita, Lim Peiy Yee.

Projek 24, yang dilancarkan September tahun lepas meletakkan sasaran untuk kembali meletakkan Malaysia di pentas akhir Piala Thomas dan memenangi pingat emas pada Olimpik 2024.

Mengulas sasarannya dalam Kejuaraan Badminton Malaysia Master yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil dari 7 hingga 12 Jan, Chiew Sien meletakkan harapan untuk mara ke pusingan suku akhir.

Chiew Sien yang digandingkan dengan Anna Cheong Ching Yik dalam kejohanan ini memulakan kempen dengan langkah kanan apabila menumpaskan rakan sepelatih, Cheah Yee See-Payee Lim, 21-11, 21-18.

“Harap-harap saya mampu mara ke suku akhir kerana tahun lepas langkah saya terhenti di pusingan kedua. Memang berharap dapat memecahkan rekod tahun lepas,” katanya.

Gandingan Chiew Sien-Ching Yik akan berdepan satu lagi beregu negara yang telah melayakkan diri ke pusingan pertama, Pearly Tan-M.Thinaah pada aksi utama beregu wanita hari ini.

-BERNAMA


Pengarang :