Selangorkini
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Malaysia berwaspada susulan wabak coronavirus dari China

KUALA LUMPUR, 20 JAN: Pasukan bertindak Malaysia yang ditempatkan di semua pintu masuk antarabangsa dan kemudahan kesihatan di seluruh negara terutama Pejabat Kesihatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kini dalam keadaan berjaga-jaga susulan berlakunya wabak coronavirus di Wuhan, China.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam laman Facebooknya berkata, alat imbasan haba dan pusat kuarantin kesihatan di terminal KLIA kini diletakkan pada pemantauan tahap yang tertinggi.

Beliau berkata, pelbagai unit kesihatan yang ditempatkan di lapangan terbang KLIA dan pintu masuk antarabangsa yang lain adalah berperanan bagi melindungi negara daripada pelbagai penyakit berjangkit yang lain daripada kawasan berisiko tinggi.

Media antarabangsa melaporkan 139 kes baharu berhubung dengan coronavirus dikesan pada hujung minggu lepas sejak virus itu dikesan Disember 2019 di Wuhan. Setakat ini, tiga orang mati di China, dengan dua kes dilaporkan di Thailand dan satu di Jepun.

Terdahulu, Dr Noor Hisham berkata, keadaan influenza yang dilaporkan di Malaysia masih terkawal dan ia tiada berkaitan dengan wabak itu di Wuhan. Tetapi KKM akan terus mengawasi keadaan jangkitan kuman dan mengemas kini semua maklumat terkini daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

– BERNAMA


Pengarang :