Anggota penguat kuasa MPS menyita gerai penjaja haram di sekitar Pasar Borong Selayang dalam Operasi Bersepadu pada 13 Februari 2020. Foto ihsan MPS
PBTSELANGOR

MPS sita 14 gerai haram di Pasar Borong Selayang

SELAYANG, 17 FEB: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyita 14 gerai di sekitar Pasar Borong Selayang kerana berniaga tanpa lesen dalam Operasi Khas Bersepadu Khamis lalu, kata pengarah jabatan korporatnya.

Dalam operasi bermula 10 pagi, Mohamad Zin Masoad berkata daripada 14 gerai terbabit, sembilan dimiliki warga tempatan manakala lima dimiliki warga asing.

“Tindakan sitaan dilaksanakan di bawah Seksyen 46(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Halangan Tred Perniagaan) serta mengikut undang-undang yang dikuatkuasakan oleh MPS dan agensi lain yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, operasi itu disertai lebih 90 anggota melibatkan pihak berkuasa tempatan termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis.

Dalam pada itu, JPJ mengeluarkan 14 notis bagi kesalahan tiada cukai jalan, tiada insurans dan kesalahan berkaitan tempat letak kereta.

Mohamad Zin mengingatkan tindakan tegas akan dikenakan ke atas penjaja yang menjalankan perniagaan di kawasan tidak dibenarkan terutama di kawasan awam.


Pengarang :