Dato’ Teng Chang Khim. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

SABC bakal jadi pemangkin pelaburan baharu rantau Asean

SHAH ALAM, 26 OGOS: Persidangan Perniagaan Asean Selangor (SABC) bakal menjadi pemangkin pelaburan baharu negara-negara rantau Asean untuk bertapak di negeri, kata EXCO Pelaburan.

Dato’ Teng Chang Khim berkata persidangan maya itu memberi peluang kepada Selangor untuk membentuk strategi mempercepat pemulihan ekonomi seterusnya membangun bersama negara-negara dari rantau berkenaan.

“Selangor merupakan destinasi pelaburan paling strategik di Malaysia, ia dilengkapi dengan infrastruktur yang komprehensif serta kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang sangat baik dan persekitaran yang mesra perniagaan.

“Pada masa sama, kita juga mempunyai tenaga mahir yang yang terbesar iaitu kira-kira 3.6 juta, serta lebih 60,000 graduan dari 160 institusi pengajian tiggi di Selangor,” katanya ketika berucap pada Webinar SABC semalam.

Turut sama menerusi webinar itu ialah Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Dr Richard Record, Pengarah Urusan China-Asean Investment Cooperation Fund, Than Su Ee, Pengarah Urusan International Data Corporation (IDC) Asean, Sudev Bangah dan Profesor Ekonomi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Jamal Othman.

Bertemakan ‘Asean: A Beacon of Light in a Pandemic-hit World Economy’, SABC secara maya itu dianjurkan Invest Selangor.

Program ini akan disusuli dengan acara utama Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2020 yang berlangsung pada 14 Oktober depan.


Pengarang :