BUDAYARENCANA

Gabriel bukan Marquez

Oleh Ruhaini Matdarin

GELANG merah jambu di pergelangan tangan kirinya berpunca oleh bersin, hingus dan demam pada darjah tinggi meskipun dia menjaga jarak dan memakai pelitup muka sepanjang waktu ketika menikmati minum pagi di kedai makan – kini sudah ditutup, dan dia tidak menduga sama sekali usahanya menjarakkan fizikal dan menjaga kebersihan sejak Mac jadi sia-sia disebabkan pertemuannya dengan Gabriel, tujuh belas hari lalu.

Kaca tingkap diketuk, kuat sekali. Semalam dia membaling buku-buku membosankan yang tidak habis dibaca kepada Gabriel yang tersembul di celah-celah lubang tingkap, kerana berasa jengkel terus-terusan digoda agar keluar menikmati kehidupan normal seperti lazim dilakukan pada hujung minggu. Berbaki dua hari sahaja lagi untuk dia bertahan menjayakan tempoh kuarantin di rumah selama dua minggu.

Suara ibu meleteri adik bongsunya masuk menerusi lubang pintu, disertai bunyi penyedut hampagas, anak-anak kucing berkejar-kejaran sehingga kotak-kotak dilanggar jatuh dan menghentak ke daun pintu kamar, membuatkan dia bangun dari perbaringan dan meletak buku ke bantal seraya berjalan ke arah tingkap. Dia mulai keliru mana tingkap dan mana pintu kesan daripada berbelas-belas hari mengurung diri.

Dia juga nekad berpisah sementara dengan dunia luar dengan cara menjauhi internet bagi mengelak semangatnya jatuh merudum. Bukan itu saja, dia meminta ibu menanam telefon (disimpan dalam kotak dan dibalut plastik) empat kaki di bawah tanah, dekat halaman rumah, di bawah tingkap kamarnya. Di atas ‘pusara’ telefon diletakkan pasu bunga kertas yang selalu dikencingi kucing tetangga. Setiap pagi dan petang dia bermenung di tingkap, tersenyum puas kerana berhasil melakukan sesuatu untuk negara, selain membayar bil dan cukai-cukai.

Tetapi dia dilanda kebosanan pada hari keenam. Keluar dari kamar hanya untuk ke tandas dan ke dapur. Pada banyak waktu, ibu akan meletak makanan di depan pintu, mengetuk pintu meminta dia mengeluarkan pakaian yang hendak dibasuh. Rutin baharu itu menyebabkan jarum penimbang berat di bawah katilnya berputar laju dan dia berasa tidak selesa dengan lemak lembut yang berkumpul pada perut, paha dan lengannya. Hal tersebut mendorongnya menutup cermin meja solek dengan kain batik. Dia mulai memusuhi semua benda mati yang berpotensi membuatkan dia berasa hodoh dan tidak berguna.

Ini semua salah Gabriel! Dia mengecam kewujudan makhluk itu yang ditemui di kedai makan, dan umpama memetik jari, dia turut dijangkiti (semoga negatif, dia berdoa) melalui hubungan secara tidak terduga dengan salah seorang pengunjung kedai yang dijangkiti virus mutasi super spreader. Dan, kebetulan pada waktu itu dia membaca buku Gabriel Garcia Marquez, Love in the Time of Cholera, lantas dinamakan virus yang menjangkitinya itu sebagai Gabriel. Setiap malam dia akan berbual-bual dengan Gabriel sebelum tidur dan setiap kali terjaga mendadak akibat mimpi buruk, dia tercari-cari Gabriel menerusi gelang merah jambunya, dia bimbang akan terlepas. Begitulah hari-harinya berlangsung di kamar kecil itu.

Ibu yang khuatir akan kesihatan mentalnya menghantar seorang ustazah di sebalik pintu kamarnya. Wanita itu memintanya bertenang lalu menceritakan kisah Ayub yang diuji penyakit kulit luar biasa. Ustazah menyuruhnya bersabar dan berkisah tentang wanita-wanita syurga. Dia duduk bersila dekat daun pintu, menongkat dagu dengan kedua-dua tangan sambil membayangkan alangkah enak jika dia dapat menikmati cendol dan nasi goreng ikan masin pada waktu itu, sambil mendengar saranan ustazah. Dia membenarkan semua cerita wanita itu dengan jawapan, “Insya-Allah”. Wanita itu tidak pernah kembali lagi.

Genap seminggu memakai gelang merah jambu, dia mulai berasa murung. Gelang itu ditanggalkan ketika dia mandi dan tanpa terduga, Gabriel menjelma menjadi makhluk yang elok indah paras, memecahkan permukaan meja solek, membuat kerusi melayang dan cat biru langit yang melatari kamar bertukar menjadi air terjun. Burung-burung terbang di atas kepala, almari pakaian berubah menjadi pintu yang membawanya pergi ke sebuah dunia lain, dipimpin Gabriel yang menunjuk jalan dan menyuruhnya menjaga langkah agar tidak tersandung akar-akar pokok.

Gabriel meluruskan tangan ke arah bangunan agam mirip istana purba. Milik siapa itu? Dia bertanya. Kepunyaan orang yang sudah lama mati, jawab Gabriel dan ia menjadi tempat kuarantin kluster kayangan serta orang yang melanggar SOP sehingga menyusahkan ramai orang. Dia tertawa halus dan nyaris-nyaris lupa diri kerana terpesona dengan makhluk yang menjadi punca dia dikuarantin. Dia menampar pipinya seraya memakai semula gelang merah jambu.

Tetapi, Gabriel sudah terlepas bebas. Pada waktu malam ketika hendak melelapkan mata, Gabriel terapung-apung di siling seperti jelmaan roh yang tidak tenang. Dia menjerit kuat mencetuskan kegemparan menyebabkan banglo dua tingkat itu terang-benderang pada pukul dua belas tengah malam. Ayah memecah pintu kamar dan memeriksa tingkap kerana bimbang akan penceroboh. Ibu berlari ke dapur mencari air Zam-Zam pemberian ustazah, lalu dijirus ke wajahnya dan meminta dia beristighfar mengingati Tuhan.

Keesokan pagi, Gabriel baring mengiring di sisi, merenungnya seperti kekasih yang dilamun cinta. Dia tidak ingin lagi melawan, sebaliknya mengucapkan selamat pagi dan mengajaknya berbual-bual.

“Bagaimana rasanya menjadi virus?”

“Seronok sekali menyaksikan manusia cepat cemas pada sesuatu yang tidak kelihatan,” jawab Gabriel, tenang. “Dan mereka dimatikan oleh ketakutan.”

Tanpa pengetahuannya, ibu meletak kamera litar tertutup di sebalik rak buku ketika dia ke tandas dan disebabkan itu seorang pakar psikiatri (sepupu ibu) berkunjung ke kamarnya pada hari kelapan, tampil seperti astronaut. Kebimbangan terbesar orang tuanya dengan pantas beralih kepada kewarasan mentalnya, bukan setakat keputusan pada akhir tempoh kuarantin.

Kamu berhalusinasi, kata ibu saudaranya. Dia bungkam di pinggir katil. Namun begitu, tidak banyak yang dapat dilakukan wanita itu selain menyuruhnya bertenang. Ketika wanita itu beredar, dia mencapai buku seraya melempar ke arah Gabriel yang melompat-lompat di antara rak, menyebabkan kamera litar tertutup bersaiz cawan mini jatuh. Ketika itulah dia mengambil kesempatan menangkap Gabriel yang tertarik dengan kamera yang tergeletak ke lantai, lalu menangkapnya dan melemparnya keluar tingkap.

Ketukan pada kaca tingkap dibiar sepi. Gabriel menghasutnya tentang “orang lain pun buat juga” dan “kau yang menjaga diri selama ini pun boleh terkena” dan dia menjerit sekuat-kuat hati menerusi lubang tingkap yang dibuka kecil sehingga menyebabkan tetangga yang menyiram bunga berlari terpontang-panting kerana terperanjat. Begitulah rutinnya, pagi dan petang, menunggu baki dua hari yang terasa begitu panjang. Demi untuk mendengar “kamu negatif’”. Atau jika keputusan sebaliknya, dia tidak menyakiti sesiapa, hanya dirinya sendiri.


Pengarang :