Selangorkini
Ahli parlimen ketika menghadiri Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pada 2 November 2020. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Potong elaun ahli parlimen untuk Tabung Covid-19 dibahas di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan) yang memasuki hari keenam di Dewan Rakyat hari ini tertumpu kepada pelbagai isu, antaranya berkaitan pemotongan elaun wakil rakyat, skim subsidi upah bersasar dan pemandu e-panggilan.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Pandan) menyatakan keyakinan sekiranya dana operasi pejabat dan komuniti Pusat Khidmat Rakyat Parlimen diberi sama rata kepada semua ahli parlimen, wakil rakyat pembangkang tidak keberatan memotong 10 peratus elaun mereka untuk disalurkan ke Tabung Covid-19.

Bagaimanapun, semua ahli parlimen kerajaan juga perlu tertakluk kepada pemotongan sama, kata bekas timbalan perdana menteri itu semasa membahaskan rang undang-undang tersebut.

Pada masa sama, beliau turut mencadangkan supaya elaun dan yuran ahli parlimen yang menjadi pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dikurangkan sebanyak 50 peratus dan disalurkan kepada Tabung Covid-19 sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat.

Berpandukan ‘kepimpinan melalui teladan’, Dr Wan Azizah turut mencadangkan potongan 10 peratus ke atas gaji perdana menteri, menteri kanan, menteri dan timbalan menteri.

Sementara itu, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) meminta kerajaan memastikan sekurang-kurangnya 70 peratus kontraktor tempatan terlibat dalam pelaksanaan projek mega di negara ini bagi memastikan rakyat dapat berkongsi kemakmuran tanpa mengira bangsa.

“Kerajaan memperuntukkan berbilion-bilion, projek-projek besar untuk dilaksanakan namun kebanyakan kontraktor yang dilantik ialah kontraktor besar… bumiputera tak ada kontrak besar, kontraktor kecil.

“Saya nak kerajaan pastikan sekurang-kurangnya 70 peratus diberi kepada lokal dan daripada 70 peratus itu kita bahagikan kepada kontraktor Cina, India, Melayu,” katanya.

Anthony Loke Siew Fook (PH-Seremban) dalam perbahasannya pula mencadangkan kerajaan menambah baik skim subsidi upah bersasar, khusus bagi sektor penerbangan, pelancongan dan perhotelan dengan menaikkan kadar subsidi hingga 50 peratus daripada gaji bulanan dengan siling gaji RM4,000.

“Kerajaan boleh memberikan keutamaan misalnya kepada anak kapal dalam pengambilan pekerja kontrak dalam inisiatif MyStep yang menawarkan 35,000 peluang pekerjaan sementara seperti jururawat dan pegawai perubatan.

“Mereka yang bekerja sebagai kru kabin sebenarnya sangat terlatih dalam rawatan kecemasan (dan) sudah tentunya boleh ditempatkan di hospital dan klinik-klinik kesihatan,” katanya.

Noor Amin Ahmad (PH-Kangar) pula meminta Kementerian Pengangkutan berunding dengan pengendali e-panggilan untuk mengurangkan caj yang dikenakan ke atas keuntungan diperoleh pemandu syarikat berkenaan.

Katanya, langkah itu dapat meningkatkan pendapatan pemandu e-panggilan yang beralih kepada pekerjaan tersebut setelah kehilangan punca pendapatan susulan penularan Covid-19 di negara ini.

“Sebagai contoh, jika sebelum ini syarikat e-panggilan mengenakan caj 20 peratus daripada hasil keuntungan pemandu bagi setiap perjalanan, mereka boleh kurangkan kepada 10 hingga 15 peratus dalam tempoh sukar ini,” katanya.

Persidangan dewan bersambung esok.

-BERNAMA


Pengarang :