Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media pengumuman kejayaan Kempen e-Bazar Selangor 11.11 Jualan Mega secara maya pada 18 Januari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

MB: Kerajaan, KKM sambut baik usaha Selangor beli vaksin

SHAH ALAM, 18 JAN: Kerajaan Persekutuan serta Kementerian Kesihatan (KKM) menyambut baik hasrat Selangor membeli lima juta vaksin Covid-19 bagi kegunaan rakyat negeri ini.

Dato’ Menteri Besar berkata tindakan dibuat Selangor itu dilihat mampu mengurangkan beban kerajaan dalam membekal vaksin demi kesihatan penduduk.

“Perdana Menteri sudah dimaklumkan perkara ini dalam mesyuarat MKN (Majlis Keselamatan Negara) darurat yang lalu.

“Kita akan bersama-sama melalui pelan imunisasi negara yang ada dalam peringkat nasional supaya tidak bertindih dan sampai kepada sasaran. Ia memerlukan proses tertentu selain pengesahan KKM,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media dalam talian selepas mengumumkan kejayaan kempen e-Bazar Selangor 11.11 Jualan Mega hari ini.

Tambahnya, Kerajaan Negeri terus memastikan rakyat negeri ini terutama golongan sasar serta pekerja industri yang membantu meningkatkan ekonomi menerima vaksin terbabit.

“Rabu ini dalam pengumuman (pengumuman khas sempena Perintah Kawalan Pergerakan) saya akan nyatakan beberapa perkembangan terbaharu mengenai perkara ini.

“Petang ini juga kita akan berbincang lebih lanjut bersama STFC (Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19) dan Selcare,” katanya.

Minggu lalu, Amirudin mengumumkan rancangan pembelian sehingga lima juta vaksin untuk rakyat serta pekerja asing yang bekerja dalam industri penting di negeri ini.


Pengarang :