Selangorkini
BUDAYA RENCANA

Ranah kamus dan ragam baku

Oleh Muhammad Aqil Rifqi

Pada hari pertama bulan 10 tahun 2020, badan bahasa negara melancarkan kamus terkini dalam khazanah bahasa Melayu: Kamus Dewan Perdana (KDP). Intinya merakam lebih daripada 120,000 kata masukan, jumlah yang cukup banyak berbanding Kamus Dewan edisi keempat dahulu yang hanya merakam sekitar 82,900 kata masukan.

Perkataan-perkataan baharu yang memadati lembar-lembar KDP termasuklah membasuh otak, bolayan, air tangan, memasukkan gear, muka toya, kona baring, menganjing, sado, gegenjak, kengkawan, pesen, tangkap leleh ,mangkuk hayun, kendarat, nyahbeku, pekena, huha, adiwira, dan banyak lagi.

Selain itu, banyak juga kata sedia ada yang diperkemas dan diperluas takrif dan perincian maknanya. Bandingkan perincian makna kata patin, ayam denak, bejat, jiwang, bonet dan bahantara dalam KDP dan KD4 – berbeza sungguh! Mustahillah jika ingin menyenaraikan semua kata masukan baharu dan kata yang perinciannya diperkemas dalam tulisan ringkas ini. Mustahil! Untuk mendalami dengan lebih lanjut, dapatkanlah senaskhah KDP.

Yang terlepas

Sungguh pun banyak kata baharu yang terakam, banyak lagi yang terlepas—masih berlegar-legar di hujung lidah dan lembar karya selain kamus. Misalnya nama tumbuhan, sipongu (Eryngium foetidum) dan nama ikan, dumis (Harpadon nehereus) dan dindilik (Betta nuluhon) yang ketiga-tiganya dijumpai di Malaysia. Ini belum mengambil kira pelbagai singkatan yang muncul semasa pandemik seperti PKP, PKPB, PKPD, PKPP, SJR, MKN, dan lain-lain. Ya, kamus turut merakam singkatan.

Bagaimana hendak kita tangani kata-kata yang ‘terlepas’ ini? Mudah, gunakannya! Jangan risau untuk menggunakan kata yang belum terakam dalam kamus. Sudah banyak dibuat orang dan mereka tidak perlu pun naik mahkamah untuk menjawab pertuduhan ‘mencemari ketulenan bahasa’.

Tidak percaya? Carilah dua kata ini dalam kamus: bukuwan iaitu mereka yang gigih dan suka membaca dan menulis atau peribelajar yang wujud dalam frasa masyarakat peribelajar dengan maksud golongan yang mengenal pasti kelemahan diri, dan berupaya mengubah serta memperbaiki nasib diri, keluarga dan masyarakat. Kedua-duanya tiada tetapi tetap digunakan. Tiada pun tindakan diambil terhadap pencipta-merangkap-pengguna kata-kata ini. Bahkan, kata nyahhujah yang turut tiada dalam kamus, pernah tersiar dalam majalah terbitan badan bahasa negara.

Kata-kata ‘terlepas’ yang digunakan berkemungkinan terakam dalam kamus akan datang. Inginkan contoh? Kata koca dan terbitannya iaitu mengoca, yang bermaksud ‘menangkap ikan dengan tangan’, sebelum ini tidak terakam dalam edisi keempat. Namun, jika kita rajin membaca, kata tersebut ada digunakan dalam berita pada tahun 2017 dan 2018 serta majalah terbitan Jabatan Perikanan.

Kini, kata koca yang dahulunya ‘terlepas’, telah memasuki sekali gus memperkaya KDP dan bahasa Melayu secara amnya. Bagaimana ini terjadi? Kamus berfungsi merakam kata yang (agak meluas) digunakan penutur. Koca dan mengoca digunakan (secara meluas), maka dirakamlah.

“Tak ada dalam kamus, mana boleh guna!”. Jika kita tidak menggunakan kata seperti kebuniti, bazaria, bau-mau, memprakatakan, haiwan angkat, tudung enjin, cucuk duit, cuci duit dan lain-lain atas alasan setiap satu daripadanya tiada di dalam KDP, kita sendiri yang kerugian kerana membataskan diri. Iyalah, kalau ada khazanah sejuta kata, tidakkah kita rugi hanya menggunakan 120,000?

Bayangkan sejenak, jika kita mengundur kembali ke waktu pra-KDP, semasa edisi keempat masih menjadi pegangan, mungkin kata untuk memerihalkan ‘bazar yang dianjurkan semasa bulan puasa’ tidak dapat digunakan kerana belum ada dalam kamus. Ya, saya memperkatakan ‘bazar Ramadan’—tiada dalam edisi keempat, ada dalam KDP. Bukan itu sahaja, kata lazim seperti jengkaut dan kemenjadian pun sama. Semuanya tidak dapat digunakan.

Sekarang, jika alasan sama digunakan semasa KDP menjadi pegangan, kata yang merujuk kepada seseorang yang menyediakan khidmat permanian beradas untuk haiwan ternakan iaitu jurusuntik tidak dapat pula digunakan kerana belum ada dalam kamus. Sama juga dengan daulat terpendam, kebolehjangkitan, edah tutup kuala, hiperpenumpuk dan sebagainya.

Cakna ragam

Walaupun saya giat menyebarkan pola fikir ‘gunakanlah sesuatu kata meskipun belum ada dalam kamus’, saya masih menyelitkan pesan supaya menggunakan sesuatu kata itu tepat dengan ragamnya. Tidak kurang kerap saya mendengar kata-kata begini sewaktu berbagi kosa kata baharu yang terakam dalam kamus: ‘Wah, dah boleh guna dalam karangan!’

Padahal ternyata jelas di situ ada lambang bb yang berkepanjangan bahasa basahan yang dahulunya dalam edisi keempat wujud sebagai kependekan bp iaitu bahasa percakapan. Mana mungkin digunakan dalam karangan yang memerlukan ragam baku?

Bahasa kita ada pelbagai ragam. Ragam baku, basahan, istana, ilmiah, daerah, dan bermacam-macam lagi. Pemilihan kata harus sesuai ragam. Jangan pula menggunakan kata basahan ketika menulis rencana ilmiah (ragam ilmiah) atau menggunakan bahasa Melayu kedaerahan tatkala menghadap sultan (ragam istana). Setiap kata ada fungsi, tempat, dan waktunya tersendiri.

Bagaimana cara untuk cakna ragam? Langkah pertama mudah sahaja, buka lembar ‘kependekan’ dalam kamus dan hafal segalanya, lagi-lagi yang melambangkan ‘variasi sosial’ (bahasa mudah: ragam) seperti pts, slg, dan bb. Ketahuilah mana kata yang arkaik, klasik, halus, diraja, kasar, basahan, slanga, dan tabu, kemudian gunalah sesuai dengan keadaan. Kenali juga kata-kata daerah dan gunakannya mengikut daerah asal kata itu. Kecualilah kamu ahli bidang dan ingin mengangkatnya menjadi istilah dalam bidang tertentu seperti jeraya dari Sarawak digunakan untuk istilah jerayawara atau kamir dari Kelantan digunakan dalam bidang matematik: pengamiran.

Hidup kita bukan sepanjang masa berbahasa baku. Tiada orang yang setiap detik hidupnya disarati kerja-kerja menulis rencana dan buku ilmiah, contoh karangan SPM, teks pidato ahli politik, atau siaran media. Pasti ada juga waktu berbahasa Melayu basahan—mungkin ketika melepak di kedai mamak bersama kengkawan atau berbahasa Melayu kedaerahan—mungkin ketika kelik Kelate atau berbahasa Melayu ragam lain-lainnya.

Pendek kata, jadikanlah kamus sebagai sandaran utama tetapi bukan pegangan mutlak. Gunalah kata yang belum ada dalamnya (atau yang sudah ada dalamnya) asalkan sesuai dengan keadaan dan ragam. Selagi mana bukan bahasa rojak, kerana dikhuatiri bukan lagi bahasa Melayu atas sebab ayatnya hanya tinggal partikel -lah dan satu dua patah kata Melayu (selebihnya bahasa asing), bahasa kita akan terus berkembang besar dan luas.

 

 


Pengarang :