BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Denda RM1,000 premis niaga gagal sedia tong sampah

KLANG, 23 FEB: Peniaga yang gagal menyediakan tong sampah di premis masing-masing boleh dikompaun sehingga RM1,000, tegas Majlis Perbandaran Klang.

Pengarah Perkhidmatan Persekitarannya Zaireezal Ahmad Zainuddin berkata tindakan itu bagi mengatasi masalah premis kotor yang masih berulang.

“Sepatutnya perkara ini tidak berlaku kerana penyediaan tong sampah antara syarat memohon lesen, justeru kita akan pantau dari semasa ke semasa selain melaksana penguatkuasaan,” katanya menambah kesalahan disabit mengikut Undang-Undang Kecil Kerajaan Tempatan.

Sementara itu, wakil rakyat Sentosa Dr Gunaraj George memaklumkan notis pemberitahuan untuk menyediakan tong sampah dihantar kepada peniaga pada 18 Februari lalu.

Jelasnya, peniaga perlu menyediakan tong bertutup dengan isi padu 240 liter dalam tempoh tujuh hari selepas notis tersebut dihantar.


Pengarang :