Orang ramai mematuhi arahan ditetapkan kerajaan dengan memakai pelitup muka bagi mencegah penularan Covid-19 ketika tinjauan di sekitar ibu kota pada 5 Ogos 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19: 941 kes baharu, terendah sejak Januari

KUALA LUMPUR, 29 MAC: Malaysia kembali mencatat angka harian kes Covid-19 di bawah paras seribu dengan 941 kes dilaporkan hari ini, sekali gus menjadi angka terendah dicatatkan tahun ini.

Kali terakhir negara merekodkan kes baharu Covid-19 di bawah empat angka ialah pada 9 Disember tahun lepas, apabila mencatatkan 959 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan memaklumkan angka kes sembuh juga melebihi kes baharu, iaitu sebanyak 1,097 kes, selain lima lagi kematian dicatatkan dalam tempoh 24 jam lepas.

“Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi dengan 219 kes diikuti oleh Sarawak 192 kes dan Johor 171 kes. Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah sebanyak 166 kes manakala yang memerlukan bantuan pernafasan 73 kes,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya perkembangan terbaharu itu menjadikan kes aktif Covid-19 dalam negara kini berjumlah 14,219 kes.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan dua kluster baharu tempat kerja telah dikenal pasti hari ini iaitu Kluster Seksyen 16 di Selangor serta Kluster Jalan Azlan di Kuala Lumpur, dan satu lagi adalah kluster komuniti, yakni Kluster Taman Vistagro di Sarawak.

– BERNAMA


Pengarang :