Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Dr Nor Fuad Abdul Hamid (kanan) menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada salah seorang kakitangan MDHS di Setia Eco Templer’s, Rawang pada 9 April. Foto Facebook MDHS
PBTSELANGOR

35 warga kerja MDHS terima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang

SHAH ALAM, 11 APRIL: Seramai 35 pegawai dan kakitangan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) yang mempamerkan mutu kerja dan sumbangan terbaik sepanjang tahun lalu menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC).

Yang Dipertuanya Dr Mohd Azhar Mohamed Ali berkata pihaknya sentiasa komited menghargai pengorbanan dan usaha warga kerja dalam meningkatkan produktiviti serta penyampaian perkhidmatan.

“Penerima APC diharap tidak leka dan meninggi diri dengan pengiktirafan diperoleh sebaliknya terus berusaha untuk menjadi suri tauladan di jabatan masing-masing,” katanya  pada majlis penganugerahan itu di Setia Eco Templer’s, Rawang pada 9 April.

Dalam acara tersebut, enam warga kerja turut menerima Anugerah Perkhidmatan Setia 25 Tahun sebagai mengiktiraf kesetiaan terhadap pihak berkuasa tempatan itu selain lapan kakitangan akan bersara wajib atau pilihan menerima Anugerah Jasamu Dikenang.

Pihak berkuasa tempatan itu juga menobatkan seorang penerima Anugerah Khas Yang Dipertua termasuk memberi penghargaan Belasungkawa kepada dua waris kakitangan yang meninggal dunia sepanjang tempoh perkhidmatan.

Majlis yang diadakan dengan tatacara operasi piawai (SOP) itu disempurnakan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Dr Nor Fuad Abdul Hamid.


Pengarang :