Polis menjalankan Ops Covid 3.0 untuk memantau pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) kilang pada 6 Jun 2021. Foto – Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara
AGENSISELANGOR

Pemilik kilang dikompaun pekerja lebih had, tiada penyukat suhu

SHAH ALAM, 7 JUN: Sebanyak 37 kompaun dikeluarkan polis antaranya kesalahan membabitkan pemilik kilang membenarkan kehadiran pekerja melebihi 60 peratus dalam Ops Covid 3.0 di sekitar Klang Utara.

Ketua polis daerah, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata operasi dua hari berakhir semalam turut mengesan premis tidak menyediakan peralatan saringan suhu serta gagal memastikan pekerja mengimbas kod aplikasi MySejahtera.

“Pihak polis juga bertindak tegas dengan mengenakan kompaun terhadap pekerja yang gagal mengimbas kod MySejahtera dan tidak memakai pelitup muka.

“Selain itu sebanyak lapan kilang diarah tutup kerana tidak mempunyai lesen perniagaan, tiada surat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta tidak termasuk dalam sektor dibenarkan beroperasi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Nurulhuda berkata semua kompaun dikeluarkan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Operasi yang turut disertai Majlis Perbandaran Klang membabitkan pemeriksaan kilang di Sungai Kapar, Meru, Bandar Sultan Suleiman dan Bandar Bukit Raja.

 


Pengarang :