Penduduk Pangsapuri Mentari Court menerima suntikan vaksin Covid-19 di Surau Al- Mustaqim, Petaling Jaya pada 5 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KKM: Saringan PKPD dijangka tingkatkan kes positif Selangor, KL

SHAH ALAM, 8 JULAI: Jumlah jangkitan di Selangor dan Kuala Lumpur dijangka meningkat susulan saringan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Ketua pengarah kesihatan menjelaskan aktiviti mengesan kontak rapat dipergiatkan di kawasan itu bagi mengurangkan wabak Covid-19 menular.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata saringan dijalankan ke atas 10 peratus penduduk di kawasan PKPD, terutama yang berisiko tinggi.

“Justeru, jumlah kes harian Covid-19 dijangka meningkat berikutan pelaksanaan aktiviti-aktiviti kesihatan awam (tersebut),” katanya.

Jumlah jangkitan Covid-19 melonjak kepada 8,868 kes hari ini, kedua tertinggi selepas merekodkan 9,020 kes pada 29 Mei lalu.

Selangor pula mencatatkan 4,152 kes, peningkatan tertinggi daripada kebiasaan 2,000 hingga 3,000 kes.

PKPD dikuat kuasa di Selangor membabitkan 34 mukim di lapan daerah bermula 3 hingga 16 Julai. Sebanyak 14 kawasan di Kuala Lumpur turut dilaksanakan PKPD dalam tempoh tersebut.

 


Pengarang :